Sunday, November 17, 2013

Tak Perlu Malu!!!!!


"Tidak apa-apa yang perlu dimalukan dengan kekalahan ini. Kami menunjukkan aksi bertenaga," kata pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagopal selepas skuad bimbingannya tewas 1-0 kepada Bahrain pada aksi Kumpulan D kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional Manama, malam kelmarin.

Rajagopal tetap dengan penderian betapa beliau tidak merasa malu dengan kekalahan itu kerana baginya peluang Harimau Malaya masih ada untuk layak apabila memiliki baki dua perlawanan lagi.

Pemain seharusnya tidak panik dan terus berfikiran positif bagi mengharungi baki dua perlawanan itu, iaitu bertemu Qatar di Stadium Shah Alam, Selasa ini dan Yaman pada Mac 2014.

Peluang masih ada
"Kami perlu terus kekal positif kerana masih ada dua lagi perlawanan untuk mempamerkan aksi terbaik. Kami juga perlu ambil setiap perkara dengan positif kerana peluang untuk layak masih ada," katanya yang dipetik menerusi www.gulfdaily-news.com, semalam.

Pengendali berusia 57 tahun itu mengakui berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak didiknya apabila berjaya bertahan dan tidak memberi peluang Bahrain menghampiri gawang walaupun menguasai perlawanan.

"Pada separuh masa pertama, kami bertahan dengan baik dan tidak memberi ruang kepada lawan menghampiri gol. Babak kedua, pemain memberi respon baik dengan memiliki beberapa peluang namun gagal disudahkan dengan baik. Keseluruhannya, bukan senang untuk Bahrain meraih kemenangan ini," katanya.

Yang jelas kekalahan itu membawa Rajagopal memilih jalan sukar dan memberi banyak tekanan kepada anak buahnya kerana Harimau Malaya wajib menewaskan Qatar pada perlawanan kelima di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Ini kerana keputusan seri atau tewas akan menyebabkan Malaysia tidak dapat menghuni dua tangga teratas layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

selepas empat perlawanan dalam saingan Kumpulan D itu, Malaysia kekal di tangga ketiga dengan mengumpul mata, dibelakang Bahrain (10) dan Qatar (9) manakala Yaman tercorot tanpa sebarang mata.

Pada perlawanan itu, Malaysia berjaya bertahan 70 minit namun minit ke-71, gawang yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat gagal menafikan percubaan Ismaeel Abdulatif selepas bijak menyempurnakan kesilapan Aidil Zafuan Radzak.

Oleh Mohd Fitrie Muhamad (mfitrie@bh.com.my)

JANA DUIT DARI BLOG
Jangan klik, kalau anda telah tahu RAHSIA ini :

0 comments: