Sunday, November 24, 2013

Dakwaan Soalan SPM Bocor Disiasat

Kota Kinabalu - Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan kebocoran kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud, berkata kementerian sudah mendapatkan maklumat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membuat aduan berkenaan.

"Setiap aduan yang kita terima akan diberi perhatian termasuk disiasat untuk memastikan kesahihannya. Saya juga sudah meminta Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk mendapatkan maklumat agar tindakan segera dapat diambil.

Segera siasat dakwaan
"Saya difahamkan persatuan itu sudah membuat laporan polis. Oleh itu, kita akan menjalankan usaha segera menyiasat perkara itu. Sebenarnya, isu soalan peperiksaan bocor sudah berakhir selepas terakhir dihebohkan akhir 1990-an," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi perjumpaan dengan pegawai program "School Improvement Partners (SI Partners) Plus and School Improvements Specialist Coaches (SISC) Plus di sini, semalam.

Kelmarin, PPIM menerima aduan tiga individu, Mohd Husaini Jaslee, Nor Izwan Abu Bakar dan Mohd Rizuan Abd Rashid mendakwa kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan bagi peperiksaan SPM tahun ini bocor.

Abdul Ghafar berkata, soalan SPM dicetak di United Kingdom dan perjalanan ke negara ini dikawal rapi dengan bantuan polis untuk mengiringi soalan berkenaan.

LP ambil tindakan
Sementara itu, Lembaga Peperiksaan (LP) dalam kenyataannya semalam, berkata pihaknya sedang menjalankan sisatan mengenai aduan itu dan akan mengambil tindakan segera selepas siasatan lengkap dijalankan.

"Sebagai sebuah institusi awam yang tertakluk mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), LP bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan peperiksaan awam di Malaysia.

"LP sentiasa memelihara kredibiliti dan intergriti pengendali peperiksaan dengan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia," katanya.

Menurut kenyataan itu, LP juga sentiasa mengambil tindakan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan bagi memastikan pengendalian peperiksaan sentiasa dijalankan dengan intergriti.

Oleh Suzianah Jiffar dan Suhaila Shahrul Annuar
bhnews@bh.com.my




0 comments: