Wednesday, November 30, 2011

PANAS : Rahsia Orang Kaya – Suka Beli & Simpan Emas!





Salah satu sebab kenapa ramai orang kaya sangat suka membeli dan memuat simpanan emas terutama emas fizikal adalah kerana tahap kecairannya yang sangat baik.

Tidak seperti hartanah, emas mempunyai kecairan yang baik untuk mendapatkan tunai sekiranya keperluan benar-benar mendesak. Sama ada menjualnya atau untuk tujuan pajakan.

Tambahan lagi simpanan dalam bentuk emas fizikal juga biasanya membuatkan pemiliknya mungkin berfikir lebih daripada sekali untuk menggunakannya sebab ianya tidaklah secair simpanan tunai yang boleh digunakan bila-bila masa.

Ini kerana simpanan dalam bentuk wang tunai sangat mudah diterima untuk urusniaga. Jadi dengan simpan emas sebagai simpanan, ianya jauh lebih selamat untuk kekal sebagai simpanan milik anda.

Yang menariknya lebih lama anda simpan dan miliki emas fizikal itu, bermakna ianya semakin menguntungkan pemiliknya! Sebab harga emas naik tahun demi tahun.

Tambahan lagi ianya diterima di seluruh dunia. Inilah uniknya emas, tidak seperti matawang yang dikeluarkan oleh setiap negara, ianya diterima dan diiktiraf sebagai sesuatu yang berharga dan bernilai oleh semua orang di seluruh dunia dan sepanjang masa.

Bayangkan ketika zaman pemerintahan Jepun (1942-1945) suatu ketika dahulu, wang kertas pokok pisang tidak lagi punyai nilai selepas Jepun tewas dalam perang dunia kedua kepada pihak British di Tanah Melayu.

Tapi emas yang disimpan dari zaman tersebut tetap masih bernilai dan diterima sebagai sesuatu yang berharga sehingga ke hari ini.

Selain itu, emas juga tahan lasak, senang dibawa dan boleh disimpan di mana-mana sahaja serta tetap bernilai walaupun dalam bentuk pasir. Itulah antara kelebihan beli dan simpan emas.

Sekiranya anda berminat ingin tahu lebih lanjut tentang emas, cara bagaimana untuk melabur dan jana keuntungan lumayan dengannya, rujuklah melalui laman web berikut :




Tuesday, November 22, 2011

Petikan Daripada Harian Metro : Juara Bola Sepak Sukan Sea 2011 (Tuah Baddrol, belang Apek)


SEPASANG tangan emas, Khairul Fahmi Che Mat sambil dibantu tuah sepakan penalti kemenangan kapten, Baddrol Bakhtiar memastikan Malaysia membawa pulang ‘ibu segala emas’ Sukan Sea Indonesia selepas menewaskan tuan rumah 4-3 menerusi sepakan penalti pada aksi final, semalam.

Pada penentuan sepakan penalti apabila kedudukan terikat 1-1 selepas beraksi selama 120 minit, penjaga gol Khairul Fahmi menyelamatkan sepakan penalti kelima Indonesia, Ferdinan Sinaga ketika kedudukan 3-3.

Sepakan penalti terakhir negara oleh Baddrol cuba ditangkap penjaga gol Indonesia, Kurnia Mega namun bola tetap melepasi garisan gol untuk memastikan Malaysia mengekalkan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Laos.

Malah kejayaan skuad kendalian Ong Kim Swee itu mengulangi pencapaian kejuaraan dua kali berturut-turut pada 1977 dan 1979.

Indonesia yang mendapat sokongan padu lebih 100 ribu penyokong yang membanjiri Stadium Gelora Bung Karno melakukan asakan awal ke kubu negara di babak pertama.

Selepas percubaan penyerang Papua, Titus Bonai diselamatkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat pada minit kedua, gawang negara akhirnya dibolosi menerusi tandukan, Gunawan Dwi Cahyo hasil sepakan sudut dua minit kemudian.

Malaysia kemudian bangkit menyamakan kedudukan apabila larian kapten, Baddrol Bakhtiar ke dalam kotak penalti disusuli hantaran lambung berjaya disempurnakan Mohd Asraruddin Putra Omar yang merebahkan badan untuk menanduk masuk bola ke gawang Indonesia pada m-35.

Bersambung babak kedua, Malaysia hampir di depan apabila serangan pantas yang dijana Irfan fazail gagal disudahkan dengan baik penyerang Ahmad Fakri Saarani biarpun hanya berada dalam situasi satu lawan satu dengan Kurnia Meiga.

Kegagalan kedua-dua pasukan mencipta jaringan menyaksikan permainan berlanjutan ke masa tambahan. Kedudukan tetap kekal 1-1 selepas aksi 30 minit masa tambahan perlawanan sekali gus memaksa penentuan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada Malaysia 4-3.

Pingat gangsa temasya edisi ke-26 ini menjadi milik Myanmar yang menumpaskan naib juara dua tahun lalu, Vietnam 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Monday, November 21, 2011

Petikan Daripada Harian Metro : PTPTN tidak paksa peminjam buat bayaran jika mereka belum bekerja

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan memaksa peminjam yang belum mendapat pekerjaan membuat pembayaran balik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

"Kerajaan sentiasa sedaya upaya untuk membantu pelajar bagi mendapatkan bantuan kewangan, malah kita juga bermurah hati untuk membantu mereka sekiranya mereka belum mendapat pekerjaan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai pendirian kerajaan terhadap peminjam yang belum mendapat pekerjaan.

Timbalan menteri itu turut menegaskan bahawa kerajaan akan membantu peminjam yang disenaraihitam untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sekiranya mereka mendapat tawaran.

"Tidak dinafikan ada di kalangan mereka telah disenaraihitam tetapi jika mereka datang ke PTPTN kita akan bantu mereka kerana mereka mempunyai alasan yang munasabah," katanya.

Menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Saifuddin berkata kerajaan tidak bercadang meminda dasar PTPTN untuk mencakupi pemberian pinjaman kepada pelbagai kursus ijazah professional seperti yang dikeluarkan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Pengurusan Akauntan Berkanun (CIMA) atau Institut Akuantan Bertauliah England dan Wales (ICAEW).

Kepada soalan Matulidi Jusoh (BN-Dungun) pula, Saifuddin berkata institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menawarkan yuran pengajian percuma terutama di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Bagaimanapun, katanya, kerajaan menawarkan penajaan untuk penuntut yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan PhD di IPTA dan IPT swasta terpilih di bawah program MyBrain15 dalam Rancangan Malaysia ke-10 dengan yuran pengajian dibiayai mengikut jumlah maksimum iaitu RM10,000 bagi peringkat Sarjana dan RM24,000 bagi PhD.

"Program ini terbuka kepada graduan yang belum bekerja, tak berpendapatan tetap dan kakitangan sektor swasta dan pensyarah IPTS," katanya.

Sehingga 17 Nov ini, seramai 5,481 orang telah diluluskan untuk program tajaan MyBrain15 bagi mengikuti program Ijazah Sarjana dan 1,201 orang untuk program PhD dalam bidang seperti sains dan teknologi, sains, sains sosial dan sastera. -- BERNAMA

Saturday, November 19, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Tiada cadangan selaras yuran PIBG - Puad Zarkashi

PONTIAN: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.

Katanya, bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.

"Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.

"Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan.

Mohd Puad turut mengingatkan pihak sekolah supaya tidak mengambil kesempatan memotong wang bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 yang diberikan kepada para pelajar.

Katanya, pihak sekolah atau PIBG tidak dibenarkan berbuat demikian kerana wang itu milik pelajar bagi membuat persediaan sesi persekolahan tahun hadapan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian. - BERNAMA