Thursday, August 27, 2009

Ingin Duit Raya !!!!!

Anda ingin mengumpul duit raya? Sekarang ini Team Speed Adsense sedang mencari prospek baru. Oleh itu mereka akan memberikan RM1 bagi setiap email yang anda memperkenalkan.

Oleh itu, anda hanya perlu isikan nama dan email untuk mendapatkan newsletter daripada Team Speed Adsense. Kemudian daftar sebagai agen affiliate dan sebarkan link anda dan anda akan dibayar sebanyak RM 1. Mudah sahaja kan.

Klik link di bawah untuk mendapat newletter tersebut.



INFO: Tahap Amaran Pandemik Selesema Babi


  • Tahap 1 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan tidak menjangkiti manusia.

  • Tahap 2 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan menjangkiti manusia.

  • Tahap 3 - Tiada penularan atau penularan virus selesema yang terhad antara manusia ke manusia tetapi tidak menyebabkan wabak dalam komuniti.

  • Tahap 4 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia serta boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti.

  • Tahap 5 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia di sekurang-kurangnya dua negara dalam satu rantau WHO dan memberi `isyarat kuat' bahawa pandemik pasti berlaku.

  • Tahap 6 - Fasa pandemik yang menunjukkan wabak menular ke seluruh dunia.
Lawati Laman Web Rasmi Influenza A(H1N1), Kementerian Kesihatan Malaysia di alamat http://h1n1.moh.gov.my./

Friday, August 21, 2009

Selamat Bercuti Sekolah & Selamat Menyambut Ramadhan

Kepada semua guru dan pelajar SMTD, selamat bercuti dan selamat menyambut Ramadhan. Kepada pelajar Tingkatan 4, jangan lupa buat soalan cuti terancang yang telah dibekalkan, kepada pelajar Tingkatan 5, sila belajar lebih di masa cuti ini, masa sangat mencemburui kalian. Jangan lupa masuk sekolah pada 29/09/09 kepada pelajar asrama, jangan buat2 lupa lak, hehheh. Kepada guru2 pun sama, 30/09/09 sekolah tau, jangan ter"MC" lak ;p

Kepada semua pengunjung blog ini, diucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menjengah blog ini dan selamat menyambut Ramadhan.

Wednesday, August 19, 2009

Peperiksaan Percubaan SPM Negeri Terengganu 2009

Para pelajar SM Teknik Dungun akan menghadapi peperiksaan percubaan SPM bermula pada 2 hb September 2009, oleh itu diharapkan semua pelajar Tingkatan 5 bersiap sedia dan membuat ulangkaji semasa cuti sekolah ini.

Di bawah ini adalah jadual peperiksaan tersebut

Monday, August 17, 2009

Jadual Peperiksaan SPM & STAM 2009

Kepada semua pelajar, sila download jadual peperiksaan berikut supaya anda boleh bersiap sedia daripada sekarang, kalau tiada sebarang perubahan daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia, maka jadual ini akan terus digunapakai sehingga tamat peperiksaan, harap maklum.
  1. Jadual SPM 2009
  2. Jadual STAM 2009


MySpace Countdowns

Sunday, August 16, 2009

Sejarah Pandemik Demam Selesema

  • Wabak Peloponnesian - 30,000 maut

    Seramai 30,000 penduduk Athens mati pada 430 Sebelum Masihi ketika peperangan Peloponnesia antara penduduk Athens dengan Sparta. Selain pening, gejala lain seperti ruam kulit, demam, batuk darah, sakit perut, muntah dan dahaga yang teruk hinggakan ada yang terjun ke dalam perigi.

  • Wabak Antonine Plague - Lima juta mati

    Wabak sempena nama Maharaja Rom, Marcus Aurelius Antoninus yang mati pada 180 Selepas Masihi. Wabak ini dibawa ke Rom oleh tentera yang pulang daripada berperang dari Mesopotamia. Ia merebak ke benua kecil Asia, Mesir, Greek dan seluruh empayar Rom dan meragut lima juta nyawa dalam masa 15 tahun.

  • Wabak Justinian Plague - Kira-kira 25 juta hingga 100 juta kematian

    Namanya sempena Maharaja Byzantine, Justinian dan wabak ini dipercayai berasal sama ada di wilayah Asia Tengah atau Ethiopia (Habsyah). Ia menjadi kes pertama wabak bubonik dicatatkan dan berlaku selama 50 tahun yang meragut 25 juta hingga 100 juta nyawa. Perdagangan dunia turut lumpuh.

  • Wabak 'Black Death' - 25 juta kematian

    Ia melanda pada zaman pertengahan Eropah dari akhir 1347 hinggalah awal 1351. Ia dikatakan disebarkan oleh kutu dan tikus. Mangsa lazimnya mati dalam kesakitan dalam masa lima hari selepas dijangkiti kuman itu.

  • Wabak Selesema Sepanyol - Lebih 50 juta kematian

    Ia berlaku pada 1918 dan menjadi kes terburuk pernah berlaku dalam era sejarah moden dan disebabkan sejenis virus selesema H1N1 dijangkiti kira-kira 40 peratus jumlah penduduk dunia ketika itu. Ia meragut lebih 50 juta kematian, majoritinya mereka golongan muda.

  • Wabak Selesema Asia - Empat juta maut

    Berlaku pada 1957, membabitkan itik liar di Guizhou, selatan China dan melalui proses mutasi dengan jenis virus manusia. Menular ke Singapura pada Februari 1957, Hong Kong pada April dan Amerika Syarikat pada Jun tahun sama. Jangkitan paling ramai di kalangan pelajar sekolah, golongan muda, wanita hamil serta orang tua yang mencatatkan kumpulan paling ramai mati.

  • Wabak Selesema Hong Kong - Sejuta maut

    Dikesan pada 1968, kes pertama dikesan di Hong Kong yang disebabkan jenis virus dikenali H3N2 yang meragut sejuta nyawa di seluruh dunia. Ia kembali pada pada 1970 dan 1972. Mangsa berusia 65 tahun ke atas paling ramai mati.

  • Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) - 800 kematian

    Dikesan di Guangdong, selatan China pada 2002 tetapi menjadi tumpuan ramai pada Februari 2003 selepas kematian seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat dalam pesawat pulang dari Shanghai. Virusnya mudah tersebar secara pantas ke Kanada, Amerika dan beberapa negara Asia. Daripada 8,096 kes, 774 kematian dilaporkan.

  • Selesema Burung

    Ada banyak jenis selesema burung. Jenis paling bahaya H5 dan H7 sering menyebabkan kematian unggas dan jenis yang paling dibimbangkan adalah H5N1. Ia hanya diketahui menyerang unggas sehinggalah kes pertama jangkitan manusia dikesan di Hong Kong pada 1997. Data WHO menunjukkan 256 maut di seluruh dunia sejak 2003 dan saintis turut memantau perkembangannya kerana bimbang mutasi berlaku dan boleh dijangkiti berjuta-juta penduduk dunia.

  • Demam Selesema - Meragut 250,000 - 500,000 kematian setiap tahun

    Tersebar ke seluruh dunia setiap tahun dan memuncak ketika musim sejuk. Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan pemberian suntikan vaksin, khususnya kepada kanak-kanak dan warga tua. Amalan kerap membasuh tangan dan sentiasa sihat, menjadi perlindungan terbaik.

Petikan daripada Berita Harian : Krakatau Kembali Hantui Penduduk

Saintis berjaya merakamkan gunung berapi kembali 'hidup'
selepas 126 tahun tidur


LEBIH seabad menyepi selepas meluahkan lahar yang memakan ribuan korban, gunung berapi Krakatau kini kembali mempamerkan isyarat membimbangkan penduduk berhampiran dan saintis yang mengagak letusannya kali ini mungkin lebih dahsyat.

Dengan ketinggian 356.76 meter dari aras laut Selat Sunda, gunung berapi paling menggerunkan itu sedia menggegarkan muka bumi ini sekali lagi. Kali terakhir ia memuntahkan lahar pada 1883 yang menyaksikan lebih 36,000 orang terkorban, sekali gus mengubah cuaca dan suhu global selama lima tahun selepas itu.

Rekod rasmi menunjukkan ketika kejadian pada 1883 itu, bersama-sama tsunami setinggi 36 meter yang dicetuskan, memusnahkan 165 kampung dan pekan, merosakkan dengan teruk 132 kampung lagi dan meragut 36,417 nyawa.


Selepas 150 tahun kemudian, wilayah yang menjadi lokasi Krakatau antara Pulau Jawa dan Sumatera di Indonesia semakin padat, dengan petani ditarik ke kawasan itu kerana tanahnya yang subur. Tidak sukar membayangkan beratus ribu bakal menemui ajal jika satu lagi letusan kuat berlaku.

Namun, wujud keraguan jika Krakatau meletus sekali lagi dengan kekuatan sama, impaknya akan jauh lebih dahsyat berbanding yang disaksikan pada abad ke-19.

“Gunung berapi mengulangi letusan seperti pada 1883 banyak kali. Pandangan biasa ialah Krakatau akan sekali lagi menjadi amat bahaya apabila mencecah saiz seperti pada 1883. Namun kini ia dua kali lebih kecil,” kata Marco Fulle, saintis dan pakar kaji bintang dan pakar gunung berapi kelahiran Itali yang merakamkan gambar itu.

Bagaimanapun, tiada jaminan dapat diberi sama ada satu lagi letusan tidak akan berlaku pada masa terdekat. Dalam kejadian pada 1883, kapal Jerman, the Elizabeth, melaporkan melihat debu dan asap menyelubungi pulau Krakatau pada ketinggian lebih 11,000 meter ke udara pada pagi 20 Mei. Menyusul beberapa bulan selepas itu, hanya ada asap, bunyi bising dan semburan debu. Masalah itu tidak mendorong penduduk tempatan meninggalkan kawasan berkenaan, sebaliknya pertunjukan bunga api semula jadi itu menjadi tarikan.



Semua itu berubah serta merta selepas tengah hari 26 Ogos apabila kejadian pertama siri letusan besar menyemburkan serpihan abu panas sehingga 35,000 meter ke udara dan kemudian pada jam 5.30 pagi keesokan hari, empat letusan besar menenggelamkan dua pertiga daripada kepulauan itu.

Info


# Krakatau memiliki kuasa letupan 13,000 kali lebih kuat daripada bom atom yang memusnahkan Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua.

# Purata suhu global berikutan letusan itu jatuh sebanyak 1.2 darjah Celsius

# Lebih 90 peratus mangsa Krakatau maut akibat tsunami

# Letupan dapat didengar sehingga 3,040 kilometer ke Perth dan 7,200 kilometer ke Sri Lanka.

Wednesday, August 12, 2009

Petikan daripada Berita Harian : Pemansuhan PPSMI Secara Berperingkat

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dilakukan secara berperingkat mengikut kaedah 'soft landing' mulai 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan akan bermula secara berperingkat bagi pelajar Tahun 1 dan Tahun 4 bagi sekolah rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 4 bagi sekolah menengah, manakala Tingkatan 6 serta matrikulasi tidak terbabit.

Bagi menyediakan mekanisme 'soft landing' pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia (BM), Muhyiddin berkata, kedua-dua mata pelajaran itu akan diajar dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Cina atau Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris (BI) di sekolah menengah mulai 2010.

Katanya, pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam dwibahasa bagi Tahun 4 akan dilaksana pada 2012, 2013 dan 2014; Tahun 5 pada 2013, 2014 dan 2015 dan Tahun 6 (2014, 2015 dan 2016).

"Oleh itu, peperiksaan Sains dan Matematik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.

"Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 4 pada 2012, 2013 dan 2014 dan Tingkatan 5 pada 2013, 2014 dan 2015 dilaksanakan dalam dwibahasa.

"Peperiksaan Sains dan Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015," katanya pada sidang media mengumumkan pemenang Anugerah Sastera Negara Ke-10 di pejabatnya di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Timbalan Perdana Menteri memberi penjelasan itu kerana ada pihak, termasuk ibu bapa keliru terhadap kaedah 'soft landing' atau pelaksanaan dasar memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris bagi menggantikan PPSMI.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan perubahan terhadap dasar PPSMI dengan kembali kepada Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing bermula 2012.

Monday, August 10, 2009

Taklimat Perkhemahan Unit Beruniform 2009

Pada pkl 7.45 pagi, telah diadakan taklimat untuk para peserta Perkhemahan Unit Beruniform 2009. Tujuan utama taklimat ini adalah untuk memberikan maklumat mengenai perkhemahan tersebut dan juga membuat pemeriksaan ke atas peralatan khemah.

Taklimat ini disampaikan oleh PK Koko, Pn Zaleha Bt Abdul Aziz dan dibantu oleh Kem Komandan iaitu Cgu Muhammad Farizan. Ia juga disertai oleh Cgu Mohd Azhar Kordi, Cgu Wan Shahril Azizul, Cgu Johar, Cgu Jismaniar dan Cgu Nasiah.

Perkhemahan ini akan diadakan pada 13 - 15 Ogos 2009 di Hutan Lipur Jambu Bongkok, Rantau Abang. Semua badan beruniform terlibat iaitu Kadet Remaja Sekolah (KRS), Pengakap, Kadet Polis, Bomba dan Penyelamat, JPA3, Renjer Puteri dan Puteri Islam. Semoga perkhemahan ini dapat berlangsung dengan jayanya.




Saturday, August 8, 2009

Kursus Amalan Persekitaran Berkualiti 5S


" Kursus Amalan Persekitaran 5S "

Tarikh / Hari :
08 / 08 / 2009 (Sabtu)

Masa:
9.00 pg - 4.30 ptg

Tempat:
Dewan Gemilang SMTD

Anjuran:
Bahagian Latihan & Perkembangan Staf
SM Teknik Dungun, Terengganu.


SINOPSIS KURSUS AMALAN PERSEKITARAN 5S

PENGENALAN

Pengenalan globalisasi dan liberisasi ekonomi dunia menuntut setiap negara dan warganya berubah mengikut kehendak pasaran dan tuntutan pelanggan. Organisasi tidak mempunyai pilihan selain memperbaiki proses dan sistem penyampaian (delivery system) dengan mempertingkatkan kaedah dan pendekatan yang digunakan.


Pengurusan sumber manusia yang cekap dan berkesan serta suasana kerja yang kondusif merupakan asas dalam pengurusan kualiti organisasi ke arah mencapai prestasi cemerlang.

5S ialah kaedah/alat pengurusan yang diamalkan oleh syarikat-syarikat di negara Jepun. Amalan 5S ini boleh mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti di dalam organisasi, menentukan kepatuhan kepada standard serta dapat memupuk usaha penambahbaikan yang berterusan.

Budaya penambahbaikan berterusan perlu diterapkan dalam Perkhidmatan Awam bagi mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan (service delivery) kepada pelanggan. Amalan 5S merupakan salah satu daripada inisiatif kualiti yang amat berkesan dalam usaha untuk menerapkan budaya penambahbaikan di kalangan warga Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak. Justeru Amalan 5S ini merupakan penggerak kepada inisiatif-inisiatif kualiti yang lain.

Fokus utama amalan 5S :-
  • Mengenalpasti, mengurangkan dan menghapuskan pembaziran di tempat kerja;
  • Meningkatkan semangat kerjasama berkumpulan; dan
  • Meningkatkan keberkesanan operasi.

FAEDAH PELAKSANAAN AMALAN 5S

Faedah dari pelaksanaan Amalan 5S ialah :
  • Tempat menjadi lebih bersih, kemas dan tersusun rapi.
  • Operasi organisasi menjadi lebih mudah, pantas dan selamat.
  • Hasilnya lebih nyata dan lebih banyak menjanakan idea yang bernas.
  • Kerumitan kerja dapat dikurangkan.
  • Kadar kerosakan mesin dapat dikurangkan.
  • Kesilapan kerja dikurangkan melalui kalis kesilapan (mistake proofing).
  • Kaedah dan standard kerja lebih jelas.
  • Kawalan stok yang lebih cekap.
  • Pengurusan stok yang lebih berkesan.
  • Penggunaan ruang kerja yang maksimum.
  • Rungutan pelanggan dapat dikurangkan.
  • Meningkatkan semangat kerja berpasukan.
  • Meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.
  • Meningkatkan imej organisasi.

Friday, August 7, 2009

Terkini v1.1 : Teknik Menjawab SPM

Di sini saya ingin berkongsi slaid MS Powerpoint mengenai Teknik Menjawab SPM dan juga soalan2 yang saya jumpai semasa "surfing".

Walaupun sumbernya tidak diketahui, namun saya rasa ia amat berguna kepada para pelajar dan guru-guru yang lain juga.

  1. Teknik Menjawab Pendidikan Islam versi 1
  2. Teknik Menjawab Pendidikan Islam versi 2
  3. Teknik Menjawab Fizik
  4. Teknik Menjawab Kertas Fizik 2 - SPM 2006
  5. Teknik Menjawab Kertas Fizik 3 - SPM 2006

Saturday, August 1, 2009

Petikan Daripada Berita Harian : Saham Percuma Untuk Siswa

Oleh Norfatimah Ahmad dan Kamarulzaidi Kamis
bhnews@bharian.com.my

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia), semalam.

50,000 pelajar tahun pertama peringkat ijazah IPTA diberi 100 unit AS 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai 50,000 pelajar tahun pertama peringkat ijazah pertama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendaftar pada sesi pertengahan tahun ini, akan diberi 100 unit Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) secara percuma.

Warga emas pula diberi peluang melanggan saham itu pada had maksimum 100,000 unit yang akan dibuka kepada langganan awam selama 30 hari bermula 5 Ogos.

Insentif itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis pelancaran Tabung AS 1Malaysia di sini, semalam.

Amanah saham itu yang lahir daripada visi gagasan pentadbiran Najib - 1Malaysia - adalah dana ekuiti harga tetap RM1 seunit dengan saiz berjumlah 10 bilion unit, yang terbesar ditawarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Najib berkata, saham percuma untuk pelajar IPTA bernilai RM5 juta itu diberi sebagai insentif kepada golongan muda supaya menjadi warga negara berwawasan dan progresif serta bijak membuat keputusan dalam bidang pelaburan serta perancangan kewangan.

Beliau berkata, saham percuma itu disumbangkan PNB dan ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), iaitu Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank dan Pos Malaysia Berhad.

Perdana Menteri berkata, perhatian istimewa kepada warga emas berusia lebih 55 tahun pula bertujuan menghargai sumbangan golongan itu dalam pembangunan ekonomi negara, selain memberi mereka peluang merancang keperluan persaraan.

"Apabila ambil alih pemerintahan, saya janjikan genap 100 hari pentadbiran saya akan lancarkan tabung dana khas, iaitu Tabung Amanah Saham 1Malaysia dan hari ini genap 120 hari pentadbiran saya... syukur Alhamdulillah janji itu dapat ditunaikan.

"Berdasarkan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, jika mahu melakukan sesuatu ia perlu dibuat secepat mungkin supaya manfaat dirasai rakyat dengan pantas.

"Malah, saya juga berhasrat mewujudkan lebih banyak titik sentuhan untuk mendekati rakyat dan Amanah Saham 1Malaysia adalah satu daripadanya," katanya.

Pada majlis itu, Najib diberi penghormatan sebagai penerima pertama buku pelaburan AS 1Malaysia.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

AS 1Malaysia boleh dilanggan dengan jumlah pelaburan permulaan minimum 100 unit, manakala pelaburan tambahan minimum sebanyak 1 unit.

Sepanjang tempoh tawaran awal selama 30 hari berakhir 3 September, penetapan peruntukan dibuat berdasarkan polar kepen-dudukan negara ini, iaitu 50 peratus daripada unit AS 1Malaysia ditawarkan kepada Bumiputera, Cina (30 peratus), India (15 peratus) dan lima peratus kepada kaum lain.

Selepas tempoh itu, had pelaburan yang ditetapkan termasuk 50,000 unit bagi setiap pemegang unit berusia 18 hingga 55 tahun akan dihapuskan, bagaimanapun bergantung kepada unit yang masih ada untuk dilanggan.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata AS 1Malaysia adalah model unik yang menyediakan peluang kepada masyarakat majmuk dan tidak hanya menjurus kepada sesuatu kaum.

"Saya harap penyertaan seluruh rakyat Malaysia tidak hanya terhad kepada dana ini saja, tetapi juga penyertaan dan penerimaan PNB dalam aktiviti perniagaan tempatan dapat ditingkatkan.

"Berdasarkan rekod pencapaian PNB, saya yakin tabung ini akan dilanggan dalam tempoh masa yang tidak berapa lama kerana sebelum ini Dana Amanah Saham Malaysia sebanyak 1 bilion unit habis dilanggan dalam masa 45 minit saja," katanya.

Beliau berkata, situasi sedemikian mencerminkan keyakinan rakyat kepada pentadbiran PNB untuk mengendalikan saiz unit sebanyak 10 bilion kerana sebelum ini 9.5 juta rakyat menjadi pemegang kepentingan dalam saham yang dikendalikan PNB.

Perdana Menteri berharap semua pihak melihat dan menganggap PNB sebagai institusi yang mesra dengan daya saing tinggi supaya setiap visi yang diimpikan untuk AS 1Malaysia dapat dilaksanakan.

"Sokongan yang saya maksudkan ialah supaya kalangan perniagaan dapat memberi ruang kepada PNB melabur atau menambah pegangan dalam syarikat baru yang berpotensi dan mampu memberi pulangan tinggi," katanya.