Friday, August 31, 2012

Koleksi Soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun @ OTI 1 Tingkatan 4 - Tahun 2012

Koleksi ini merupakan soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun atau OTI 1 bagi Tingkatan 4 sekolah-sekolah menengah di Negeri Terengganu yang telah berlangsung . Walaupun agak lewat saya "publish" soalan2 ini, diharapkan ia dapat membantu para pelajar Tingkatan 4 menyediakan diri untuk peperiksaan akhir tahun yang akan datang.

Skema akan diusahakan, jika saya perolehinya, saya akan upload kemudian. Soalan akan diupload secara berperingkat, diharapkan semua bersabar, sekian terima kasih.

Bahasa Malaysia - [K1] [K2]
Bahasa Inggeris - [K1] [K2]
Matematik - [K1] [K2]
Matematik Tambahan - [K1] [K2]
Sejarah - [K1] [K2]
Pendidikan Islam - [K1] [K2]
Fizik - [K1] [K2] [K3] TERBARU!!!!!
Kimia - [K1] [K2] [K3]
Sains - [K1] [K2]
Biologi - [K1] [K2]
Pengajian Awam - [K1]
Pengajian Elektrik - [K1]
Pengajian Mekanik - [K1]
Lukisan Kejuruteraan - [K1]


Petikan Daripada Berita Harian ; 13,000 peserta semarak sambutan Hari Kemerdekaan ke-55


KUALA LUMPUR: Perbarisan sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka hari ini meriah dengan penyertaan 13,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya generasi muda, yang melambangkan perpaduan negara yang kukuh dan sejahtera.

Bertemakan '1Malaysia Janji Ditepati', perhimpunan perbarisan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tepat jam 8 pagi dengan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat sebelum lagu 'Negaraku' dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama terdiri empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja dan diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali sebelum diikuti dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu 'Negaraku' dan tembakan meriam 14 das.

Sambutan kemuncak kemerdekaan negara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55 peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang kurang upaya dengan berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik dengan diketuai oleh pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati Gombak Azrai Abdul Aziz.

Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali.

Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun Negara yang disampaikan melalui bicara berirama dengan penuh berwarna warni oleh pelajar.

Diikuti dengan perarakan masuk perbarisan yang dimulakan dengan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia dan dikuti dengan kontinjen membawa Jalur Gemilang dan kontinjen membawa bendera kesemua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Buat julung kali perbarisan kontinjen agensi kerajaan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dengan diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Kontinjen agensi kerajaan turut dianggotai oleh pemimpin tertinggi setiap kementerian itu iaitu ketua setiausaha kementerian masing-masing selaras dengan tema perayaan Hari Kemerdekaan tahun ini "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati". - BERNAMA

Petikan Daripada Kosmo : Semua pelajar tingkatan satu didedah latihan kemahiran


SEBAHAGIAN daripada pelajar Yayasan MySkills Malaysia gembira selepas yayasan itu menerima sumbangan berjumlah RM1.5 juta daripada Subramaniam di Kuala Lumpur semalam.

Oleh SUHANA MD. YUSOP
suhana.yusop@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Bermula tahun depan, sistem pendidikan negara akan melalui satu perubahan apabila semua pelajar tingkatan satu di negara ini akan didedahkan dengan latihan kemahiran sehingga tingkatan lima.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam memberitahu, latihan kemahiran tersebut adalah bertujuan menangani isu pelajar yang tidak berminat dengan bidang akademik tetapi cenderung dengan bidang kemahiran.

Menurutnya, langkah untuk merubah sistem pendidikan negara itu adalah usaha besar Kementerian Pelajaran dalam memastikan golongan tersebut tidak tercicir dan mampu berdikari biarpun tidak cemerlang dalam bidang akademik selain boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kesemua mereka ini apabila tamat tingkatan lima akan mendapat dua sijil iaitu Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia yang mana boleh digunakan untuk masa depan mereka.

“Bagi yang tidak berminat dengan akademik, mereka boleh gunakan sijil kemahiran tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek bernilai RM1.5 juta kepada Yayasan MySkills Malaysia di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Yayasan MySkills Malaysia, Dr. Shanmugasiva.

Subramaniam menjelaskan, latihan kemahiran yang diberikan adalah berasaskan kepada bidang yang diperlukan oleh pasaran.

Petikan Daripada Harian Metro : 10 penuntut Politeknik Dungun nyaris maut bas rempuh kedai makan

DUNGUN: Sepuluh penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin nyaris maut setelah sebuah bas ekspres merempuh rumah kedai dan kedai menjual barangan basah di kilometer 84.5 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, Jalan Batu 7 berhadapan politeknik itu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi, kesemua pelajar diploma jurusan Kejuruteraan Elektrik tahun pertama itu baru hendak menikmati makanan di kedai berkenaan.
Menceritakan detik-detik cemas itu, pelajar Azizul Hakimi Ibrahim, 18, berkata ketika kejadian, kesemua mereka berada di bahagian luar kedai dan mendengar bunyi bising serta teriakan daripada anak peniaga berkenaan.

"Ketika berpaling, kami lihat sebuah bas meluncur laju ke arah kedai tempat duduk kami dan masing-masing cepat melompat lari menyelamatkan diri daripada dirempuh bas berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Seorang lagi pelajar, Mohd Mujiburrahman Hanafi, 18, berkata dia sempat melihat bas ekspres yang terbabas laju itu menyeret sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki dua orang.

"Saya sangkakan bas itu hendak berhenti di kedai berkenaan namun kenderaan itu tetap meluncur laju sebelum melanggar sebuah kereta dan terus merempuh kedai menjual makanan basah dan kedai makan ini.

"Ketika itu, saya yang panik terus menjerit dan suruh rakan lain selamatkan diri," katanya.

Akibat rempuhan itu, kesemua pelajar terbabit dihantar ke Hospital Dungun kerana mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki, tangan, kepala dan muka kerana dihempap kayu bangunan itu.

Sementara itu, pemilik kedai, Wan Maznah Wan Abdullah, 51, berkata ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur apabila tiba-tiba terdengar anak perempuannya menjerit.

Dia lantas keluar dan tergamam melihat sebuah bas dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu itu melanggar kedainya.

"Ketika kejadian, kira-kira 30 pelanggan saya sedang makan sebelum dikejutkan rempuhan kuat dari bas berkenaan.

"Saya bersyukur kejadian ini tidak melibatkan kecederaan yang parah kepada pelanggan serta anggota keluarga saya," katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan berkata kejadian berpunca daripada masalah brek bas yang dipandu Zahri Muda, 39.

"Pemandu bas itu cedera ringan manakala pemandu dan penumpang kereta Honda Civic tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. - Bernama

Thursday, August 30, 2012

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Inovasi SMK Tanjung Datuk diiktiraf di pertandingan reka cipta inovasi dunia



INOVASI ciptaan sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Datuk dekat Pengerang, Johor telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila menduduki tempat kedua Pertandingan Pereka Cipta Muda peringkat Antarabangsa 2012 atau International Exhibition For Young Inventors (IEYI) di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Pengurus pasukan sekolah itu, Latifah Saat berkata, kejayaan tersebut diperoleh menerusi ciptaan 'The Great Wall Of Plastic' (GWP) atau sejenis alat perangkap sampah yang dihasilkan melalui bahan terbuang iaitu botol plastik dengan mengaplikasikan konsep 3R (Reuse, Reduce and Recycle).

"Kelebihan alat perangkap sampah GWP adalah tahan lama dan dihasilkan dengan kos yang murah," katanya.

Malah, jelas beliau, susunan botol plastik pada ciptaan tersebut menyerupai barisan telur nyamuk yang berfungsi seperti injap agar berupaya mengumpul sampah dengan banyak.

Pasukan sekolah itu yang diwakili Noor Faridah Ali, Goh Zheng Yuen dan Farhan Yahya tewas kepada pasukan Hong Kong yang dinobatkan sebagai juara IEYI edisi kali ini.

"Walaupun hanya mampu menduduki tangga kedua namun kita tetap bangga dengan pencapaian ini dan berazam untuk mempertingkatkannya pada masa depan," katanya penuh tekad.

Projek GWP dimulakan pada 2008 dengan tapak ujian dijalankan di Sungai Kapal dan ia ditambah baik pada tahun ini serta menjalani ujian kedua di Sungai Kepah kerana kedua-dua sungai tersebut berada dalam Kampung Sungai Kapal, Pengerang dekat Johor.

Menurut Latifah, selepas menjalani operasi di Sungai Kapal dan Sungai Kepah, penghasilan alat berkenaan menunjukkan peningkatan yang positif kerana berjaya memerangkap sampah dengan banyak dan tidak mudah rosak walaupun mendapat tekanan ombak kuat.

"Sampah dapat dikumpul dari dua arah iaitu dari laut dan kampung malah penghasilan satu set GWP hanya memakan masa tiga hari sahaja bergantung kepada saiz lebar sungai.

"Malah, bahan utama alat ini hanya botol plastik minyak 5 liter, tali nelayan, simen, jaring ikan dan kayu bakau," jelasnya.

Pada masa yang sama, Latifah turut melahirkan penghargaan kepada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), SIRIM Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran serta penglibatan syarikat swasta iaitu Petronas.

Tuesday, August 14, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Keputusan SPM Ulangan Khamis ini

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2011 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. - BERNAMA

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Harga minimum rokok ditetapkan RM7 sekotak

PUTRAJAYA 14 Ogos - Kerajaan menetapkan harga minimum bagi semua jenama rokok ialah RM7 mulai 1 Sept dan hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 20 batang rokok dalam satu paket. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serentak itu, kerajaan turut memansuhkan semua jenis diskaun yang ditawarkan oleh syarikat rokok.

Beliau berkata kerajaan juga hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 10 paket dalam satu karton.

“Mulai 1 Sept 2012, semua diskaun jualan rokok akan dimansuhkan...semua jenama rokok tidak boleh mengadakan diskaun. Pelarasan diskaun harga jualan runcit rokok dimansuhkan. Hanya satu harga minimum iaitu RM7 untuk paket 20 batang.

“Pengilang-pengilang membungkus rokok perlu memastikan dalam paket hanya 20 batang dan satu karton mengandungi 10 paket sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan "Duta ASAP Smoke Free Lifestyle", di sini hari ini.

Liow berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan itu.

Tahun lepas harga minimum rokok ditetapkan RM7 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu tidak menetapkan saiz paket dan terdapat 21 batang rokok (RM7.23), 22 batang rokok (RM7.70), 23 batang rokok (RM8.05). - BERNAMA

Jadual Peperiksaan Percubaan SPM 2012 Negeri Terengganu


Pengumuman kepada semua pelajar Tingkatan 5 2012 Sekolah Menengah Vokasional Dungun, pastikan anda bersedia untuk menghadapi peperiksaan percubaan pada 27/08/2012 sehingga 11/09/2012.

Jadual di bawah adalah jadual yang bakal digunakan, jika terdapat perubahan, ia akan diberitahu kelak. Di harapkan semua pelajar akan mematuhi jadual tersebut.

Kepada guru-guru, diingatkan bahawa markah perlu di"key-in"kan oleh guru matapelajaran secara online melalui sistem e-pantau sebelum atau pada 20 September 2012 (Khamis) jam 12.00 tengahari.

Tarikh akhir key-in secara online melalui sistem SAPS akan dimaklumkan kemudiaan dan P&P akan berjalan seperti biasa bagi pada waktu tiada peperiksaan.

Kerjasama daripada semua pelajar dan guru amat dihargai. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Peperiksaan SMV Dungun.



Monday, August 13, 2012

Petikan Daripada Utusan Malaysia : PTPTN - 4,430 lagi dikecualikan

TEMERLOH 12 Ogos - Seramai 4,430 orang lagi pelajar dikecualikan daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamad Said berkata, pengecualian tersebut membabitkan pembiayaan RM116.2 juta.

“Sehingga 30 Jun lepas, seramai 13,011 pelajar dikecualikan daripada membayar balik pinjaman kerana cemerlang dalam pelajaran membabitkan peruntukan RM370.70 juta," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama saudara baru Orang Asli di Kampung Penderas, Kuala Krau, semalam.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kira-kira 70 peratus pelajar membayar balik pinjaman berikutan beberapa pendekatan dilakukan PTPTN, antaranya lebih bertolak ansur, menerima bayaran minimum RM50 sebulan dan menjadual semula bayaran balik bagi pelajar bermasalah.

Katanya, pembukaan cawangan baru PTPTN di beberapa negeri turut memudahkan orang ramai, sekali membantu meningkatkan jumlah bayaran balik pinjaman. - BERNAMA

Wednesday, August 8, 2012

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Anak peneroka disaran masuk kolej Felda

JEMPOL 7 Ogos - Anak peneroka disaran merebut peluang melanjutkan pendidikan dalam bidang kemahiran di Kolej Yayasan Felda di Feldajaya Selatan, dekat sini, bagi dijadikan nilai tambah terhadap kemahiran dan bakat sedia ada.

Pengurus kolej berkenaan, Ishak Osman berkata, kegagalan anak peneroka mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak bermakna mereka perlu terus melupakan hasrat menyambung pelajaran.

"Tempoh pengajian yang ditawarkan di sini amat pendek iaitu hanya selama enam bulan bagi sijil tahap satu seterusnya mereka boleh meneruskan pengajian sehingga ke tahap dua.

"Tambahan pula, kita mempunyai ramai tenaga pengajar yang terlatih dan ramai pelajar yang menuntut di sini sudah berjaya termasuk yang membuka perniagaan sendiri," katanya di sini baru-baru ini.

Jelas Ishak, antara kelebihan yang ditawarkan kolej tersebut ialah pelajar tidak akan dibebankan dengan kos pengajian yang tinggi.

"Mereka hanya perlu membayar RM100 sahaja pada hari pendaftaran. Tiada sebarang yuran dikenakan, malah mereka turut mendapat penginapan secara percuma.

"Untuk lulus dalam pelajaran pula pelajar dikehendaki menjalani sesi amali yang meliputi markah sebanyak 60 peratus, manakala 40 peratus membabitkan latihan teori," katanya.

Tambahnya, buat masa ini, kolej tersebut hanya menawarkan dua kursus iaitu dandanan rambut serta jahitan yang dibuka khas untuk lelaki dan wanita.