Wednesday, August 8, 2012

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Anak peneroka disaran masuk kolej Felda

JEMPOL 7 Ogos - Anak peneroka disaran merebut peluang melanjutkan pendidikan dalam bidang kemahiran di Kolej Yayasan Felda di Feldajaya Selatan, dekat sini, bagi dijadikan nilai tambah terhadap kemahiran dan bakat sedia ada.

Pengurus kolej berkenaan, Ishak Osman berkata, kegagalan anak peneroka mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak bermakna mereka perlu terus melupakan hasrat menyambung pelajaran.

"Tempoh pengajian yang ditawarkan di sini amat pendek iaitu hanya selama enam bulan bagi sijil tahap satu seterusnya mereka boleh meneruskan pengajian sehingga ke tahap dua.

"Tambahan pula, kita mempunyai ramai tenaga pengajar yang terlatih dan ramai pelajar yang menuntut di sini sudah berjaya termasuk yang membuka perniagaan sendiri," katanya di sini baru-baru ini.

Jelas Ishak, antara kelebihan yang ditawarkan kolej tersebut ialah pelajar tidak akan dibebankan dengan kos pengajian yang tinggi.

"Mereka hanya perlu membayar RM100 sahaja pada hari pendaftaran. Tiada sebarang yuran dikenakan, malah mereka turut mendapat penginapan secara percuma.

"Untuk lulus dalam pelajaran pula pelajar dikehendaki menjalani sesi amali yang meliputi markah sebanyak 60 peratus, manakala 40 peratus membabitkan latihan teori," katanya.

Tambahnya, buat masa ini, kolej tersebut hanya menawarkan dua kursus iaitu dandanan rambut serta jahitan yang dibuka khas untuk lelaki dan wanita.

0 comments: