Wednesday, December 17, 2008

TERKINI : Laluan Perguruan

Individu yang ingin menyertai kerjaya perguruan boleh berbuat demikian secara berikut:
  • Bagi lepasan SPM boleh memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) atau memohon opsyen pendidikan melalui matrikulasi untuk ke Universiti Perguruan Sultan Idris.
  • Bagi individu yang telah mempunyai ijazah dan berminat, boleh memohon ke program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI).
Sila ke laman Portal Rasmi Kementerian Pelajaran untuk maklumat terkini dan segala permohonan adalah secara dalam talian. Kepada pelajar Lepasan SPM 2008 yang berminat untuk mengikuti KPLSPM, biasa tawaran akan dibuka pada bulan Feb atau Mac. Namun segala maklumat terkini ada pada portal tersebut.

Latihan Pra Perguruan

Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM)
Pelajar lepasan SPM yang berminat untuk menjadi guru boleh memohon secara atas talian untuk mengikuti KPLSPM. Pemohon yang berjaya melalui syarat-syarat awal kursus akan mengikuti latihan perguruan selama empat tahun. Pada akhir pengajian, pelatih yang berjaya akan dianugerahkan Sarjana Muda Pendidikan dalam bidang yang dipilih. KPLSM menawarkan kursus perguruan bagi semua peringkat sekolah.

Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI)
Kurus ini terbuka kepada individu yang telah memiliki ijazah pertama dan berminat untuk memasuki bidang perguruan boleh memohon untuk mengikuti KPLI secara atas talian. Pelatih KPLI akan menjadi guru di sekolah rendah sahaja.


** Nota **

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam yang telah dikhususkan untuk bidang pendidikan.

UPSI mempunyai sejarah yang panjang dalam bidang pendidikan guru. Ia telah ditubuhkan sebagai Sultan Idris Teaching College (SITC) pada tahun 1917 diilhamkan oleh R.O. Windstedt, Gabenor Negeri-Negeri Selat pada ketika itu.

Namanya kemudian ditukar kepada Maktab Perguruan Sultan Idris pada 1959 dan dikhususkan untuk guru-guru sekolah rendah.Maktab ini kemudiannya dinaikkan taraf kepada Institut Perguruan Sultan Idris pada tahun 1987.

Setelah diwartakan menjadi universiti pada tahun 1997, UPSI terus menjadi teraju dalam bidang pendidikan. UPSI menawarkan program ijazah pendidikan pada tahap sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Thursday, December 4, 2008

TIGA sekolah menengah teknik (SMT) akan dinaik taraf sebagai Kolej Matrikulasi

TIGA sekolah menengah teknik (SMT) akan dinaik taraf sebagai Kolej Matrikulasi yang menawarkan aliran pengajian teknikal khusus untuk lepasan sekolah terbabit, tahun depan.

Sekolah itu ialah SMT Pendang, Kedah; SMT Pontian, Johor dan SMT Jengka, Pahang dipilih hasil lawatan serta tinjauan Bahagian Matrikulasi, dan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran ke sekolah itu, baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata pemilihan itu mengambil kira pelbagai aspek berkaitan lokasi, prasarana dan persekitaran yang membolehkannya beroperasi sebagai kolej matrikulasi.

Katanya, proses menaik taraf SMT terbabit akan dilaksanakan secara berperingkat biarpun peruntukan bagi tujuan itu belum jelas sebagai persediaan awal menerima pelajar kumpulan pertama bulan Mei, tahun depan.

“Jumlah pelajar yang akan diambil bagi memasuki kolej itu bagaimanapun belum diputuskan namun kita menjangkakan pengambilan akan dibuat dalam jumlah sederhana.

“Dari segi syarat dan polisi kemasukan, ia sama seperti program matrikulasi sedia ada, namun kita ubah suai dengan memberi kelonggaran lulusan SMT tetapi tetap kompetitif kerana sistem merit diguna pakai bagi memilih pelajar yang layak,” katanya kepada Berita Harian, di Putrajaya.

Sambil menjelaskan banyak perubahan perlu dilaksanakan termasuk mewujudkan budaya dan persekitaran kolej matrikulasi yang berkonsepkan ala universiti di SMT terbabit, Zainal Abidin berkata, satu pasukan petugas khas dianggotai pegawai Bahagian Matrikulasi diwujudkan bagi melancarkan penubuhannya.

“Dari segi rangka kurikulum, kita berjaya mendapatkan maklum balas daripada Jemaah Dekan Kejuruteraan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membangunkan program komprehensif serta memenuhi keperluan IPTA di negara ini.

“Kurikulum dibangun bagi memberi pendedahan asas kukuh kepada pelajar aliran teknikal ke arah menjadi tenaga pakar dan profesional dalam bidang kejuruteraan serta perdagangan,” katanya.

Beliau menjelaskan, cadangan penubuhan kolej itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Akademik yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang pada 2 Julai lalu.

Keputusan itu katanya, sejajar strategi memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional yang dibentangkan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Datuk Yusoff Harun kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 25 Julai lalu.

Seterusnya, ia dipersetujui Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

“Pelaksanaan usaha ini dilihat sebagai laluan kepada lulusan cemerlang SMT melanjutkan pelajaran kerana sebelum ini mereka sukar mendapat tempat berikutan saingan sekolah lain seperti sekolah berasrama penuh.

“Malah pihak IPTA mengalu-alukan pelaksanaan ini yang turut memberi peluang kepada mereka mendapatkan pelajar berkelayakan bagi melanjutkan pengajian peringkat tinggi dalam bidang berteraskan kejuruteraan atau teknikal di universiti masing-masing,” katanya.