Friday, August 31, 2012
Petikan Daripada Berita Harian ; 13,000 peserta semarak sambutan Hari Kemerdekaan ke-55
KUALA LUMPUR: Perbarisan sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka hari ini meriah dengan penyertaan 13,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya generasi muda, yang melambangkan perpaduan negara yang kukuh dan sejahtera.
Bertemakan '1Malaysia Janji Ditepati', perhimpunan perbarisan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tepat jam 8 pagi dengan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat sebelum lagu 'Negaraku' dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.
Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.
Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama terdiri empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja dan diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali sebelum diikuti dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu 'Negaraku' dan tembakan meriam 14 das.
Sambutan kemuncak kemerdekaan negara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55 peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang kurang upaya dengan berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik dengan diketuai oleh pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati Gombak Azrai Abdul Aziz.
Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali.
Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun Negara yang disampaikan melalui bicara berirama dengan penuh berwarna warni oleh pelajar.
Diikuti dengan perarakan masuk perbarisan yang dimulakan dengan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia dan dikuti dengan kontinjen membawa Jalur Gemilang dan kontinjen membawa bendera kesemua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.
Buat julung kali perbarisan kontinjen agensi kerajaan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dengan diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Kontinjen agensi kerajaan turut dianggotai oleh pemimpin tertinggi setiap kementerian itu iaitu ketua setiausaha kementerian masing-masing selaras dengan tema perayaan Hari Kemerdekaan tahun ini "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati". - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment