Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kementerian sentiasa berusaha memenuhi permohonan guru pulang berkhidmat di negeri masing-masing atau mengikut pasangan.
"Namun, perkara itu tidak dapat dilaksanakan dalam jangka pendek kerana permohonan terutama untuk Kelantan, Terengganu dan Kedah, melebihi kekosongan jawatan di negeri terbabit.
"Kementerian seboleh-bolehnya mahu semua guru balik mengajar di negeri masing-masing bersama keluarga mereka.
"Namun, keadaan perjawatan dan opsyen sudah penuh, kita tidak mampu meluluskan permohonan. Ini yang menyebabkan masalah besar hingga menyebabkan guru marah kepada kerajaan," katanya selepas melawat Universiti Darul Iman (UNISZA), semalam.
30,000 tak dapat diserap
Beliau berkata, perjawatan guru di Kelantan hanyalah 28,054, tetapi jumlah guru yang berasal dari negeri itu di seluruh negara adalah 57,740 orang.
Justeru, katanya kementerian tidak dapat menyerap hampir 30,000 guru yang berasal dari negeri itu untuk kembali mengajar di kampung halaman kerana penempatan perlu mengikut kekosongan dan opsyen subjek pengajaran.
"Begitu juga di Terengganu, jumlah permohonan pertukaran adalah 1,267 tetapi kekosongan hanya 169, manakala di Kedah, permohonan 1,523 berbanding kekosongan 274 tempat.
"Kementerian ada memberi ruang kepada guru yang mengajar di Sabah, pulang mengajar di Johor tetapi mereka menolak kerana mahu mengajar di negeri itu," katanya.
Idris berkata, kementerian akan melaksanakan pengambilan guru mengikut keperluan negeri masing-masing dan ia sedikit sebanyak diharap membantu mengatasi masalah berkenaan.
Katanya, ia juga bagi mengatasi keciciran permohonan yang berlaku sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan guru terutama yang berjauhan dengan pasangan masing-masing.
0 comments:
Post a Comment