Tuesday, November 19, 2013

8,000 Lulusan UPSR Ditawar Memasuki SBP 2014

Kuala Lumpur - Kementerian Pendidikan menerima sejumlah 158,245 permohonan daripada lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi memasuki sekolah berasrama penuh (SBP), tahun depan.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, hanya lima peratus atau 8,000 calon akan ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu di 61 SBP seluruh negara.

Sebanyak 5,600 calon atau 70 peratus dalam kalangan murid yang berasal dari sekolah luar bandar dan pedalaman, manakala baki 2,400 lagi (30 peratus) dari sekolah bandar.

Semak keputusan
"Keputusan pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan 1 SBP 2014 akan diumumkan dalam tempoh 27 hari selepas tarikh pengumuman UPSR pada 14 November lalu.

"Calon boleh menyemak keputusan masing-masing selewat-lewatnya mulai 10 Disember 2013 (Selasa) menerusi beberapa cara iaitu melawat laman sesawang KPM, www.moe.gov.my, kaunter BPSBPSK KPM atau menghubungi talian hotline 03-83217400," katanya.

Selain itu, semakan juga boleh dibuat di mana-mana kaunter Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berhampiran selain makluman Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Guna e-tawaran
Bermula tahun lalu, keputusan permohonan tidak lagi dihantar melalui pos tetapi menggunakan e-tawaran. calon berjaya boleh memuat turun surat tawaran dan lampiran selepas melakukan semakan di laman sesawang  www.moe.gov.my.

Mereka yang berjaya menerima tawaran kemasukan dijangka akan mendaftar masuk pada 8 januari tahun depan.

Sementara itu, bagi calon yang tidak berjaya mendapat tempat, mereka boleh mengemukakan rayuan secara atas talian (online) menggunakan e-rayuan yang akan dibuka selama dua minggu bermula 10 hingga 24 Disember 2013.

61 SBP
Antara SBP sedia ada yang menerima kemasukan pelajar Tingkatan 1 tahun depan ialah, Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kolej Tunku Kursiah Seremban, Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh, Sekolah Dato' Abdul Razak Seremban, Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru, Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya.

Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Jitra, SM Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, SMAP Labu, SM Sains Raja Tun Azlan Shah Taiping, SM Sains Telok Intan, SM Sains Kuala Selangor, SM Sains Hulu Selangor, SM Sains Sultan Hj Ahmad Shah Kuantan, SM Sains Sultan Hj Ahmad Shah Pekan, SM Sains Tengku Abdullah Raub, SM Sains Tengku Muhammad Faris Petra Kota Bharu, SM Sains Machang, SM Sains Pasir Putih dan SM Sains sabah Kota Kinabalu.

FAKTA NOMBOR

158,245 Permohonan diterima oleh Kementerian Pendidikan untuk memasuki SBP

2,400 Calon dari sekolah bandar

5,600 Calon dari sekolah luar bandar

2 Minggu tempoh masa buat rayuan jika gagal 

Oleh Nas Norziela Nasbah (nasnorziela@bh.com.my) 


JANA DUIT DARI BLOG
Jangan klik, kalau anda telah tahu RAHSIA ini :

0 comments: