Friday, July 24, 2009

Petikan Daripada Harian Metro : Pelajar, kakitangan UiTM Dungun diarah bercuti


KUALA TERENGGANU: Tindakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menutup kampusnya di Dungun selama seminggu mulai semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan kemungkinan penularan wabak selesema babi (H1N1) apabila beberapa pelajarnya disyaki dijangkiti ‘influenza light illness.’

Kelmarin, seramai 5,188 pelajar dan 709 kakitangan universiti berkenaan diarahkan bercuti serta-merta oleh pihak pengurusan berikutan peningkatan bilangan pelajar menghidap selesema mencecah 100 orang.

Difahamkan, sejak beberapa hari lalu, beberapa pelajar mengadu selesema dan mendapatkan rawatan biasa, tetapi bilangannya terus meningkat sehingga menjadikan situasi agak membimbangkan pihak pengurusan.

Berikutan penutupan itu, pelajar berasal dari Semenanjung diarahkan pulang ke kampung masing-masing manakala pelajar dari Sabah dan Sarawak dikuarantin dalam sebuah asrama.

Ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Mahad, 50, dari Kuala Terengganu berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak perempuannya berusia 21 tahun pagi semalam untuk mengambilnya dari kampus di Dungun.
Katanya, anaknya pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Perniagaan memberitahu universitinya diarahkan bercuti seminggu berikutan penularan wabak selesema di kalangan pelajar.

Mahad berkata, dia kesal apabila perkara itu seperti mahu dirahsiakan sedangkan pelajar dijangkiti selesema itu mencecah 100 orang.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya terkejut kerana mendapat tahu perkara ini secara mengejut, saya bimbang kesihatan anak saya terjejas dan berharap tindakan segera perlu diambil sebelum keadaan lebih teruk,” katanya.

Pelajar Hawa Sathiyah Mamat, 20, dari Kuala Terengganu, berkata dia menerima mesej penutupan universiti daripada beberapa rakan sejak Selasa lalu, tetapi tidak pasti punca penutupan itu.

Pelajar tahun pertama Diploma Kulinari itu berkata, apabila menerima notis berhubung penutupan serta-merta selama seminggu semalam, dia mula cemas dan terus menghubungi keluarga untuk menjemputnya pulang.

“Saya mulai bimbang dan menyedari semakin ramai pelajar bersebelahan bilik yang demam dan selesema, saya hanya ingin segera pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui semalam.

Nor Hanidah Akma Mohd Zakaria, 20, juga dari Kuala Terengganu pula berkata, dia terkejut apabila menerima notis penutupan universiti pagi semalam.

Katanya, pada masa sama, dia menyedari semakin ramai pelajar yang terpaksa dipindahkan dari asrama sama ada untuk dikuarantin atau dihantar ke hospital.

“Saya sangat lega apabila dapat menghubungi keluarga untuk pulang dan pada masa sama, saya bersyukur tidak dijangkiti oleh penyakit berkenaan, namun saya masih berasa kesal kerana terpaksa meninggalkan pelajaran dalam jangka masa seminggu,” katanya yang mengambil kursus sama dengan Nor Hanidah Akma.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata beliau sudah menerima laporan mengenai arahan penutupan kampus.

0 comments: