Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger





Jika ingin mencari soalan-soalan dan SKEMA JAWAPAN dalam blog ini dengan pantas, sila "Search Button" di bawah ini.

Wednesday, July 8, 2009

Petikan Daripada Berita Harian : PPSMI dimansuh?

PPSMI dimansuh?

Oleh Syuhada Choo Abdullah, Faiza Zainudin dan Junita Mat Rashid
bhnews@bharian.com.my

Tingkat pengajaran bahasa Melayu, tanpa ketepi bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan beberapa pihak, terutama pejuang bahasa dijangka berakhir berikutan keputusan kerajaan memansuhkan dasar itu.

Sebagai ganti, kerajaan akan mengumumkan strategi yang lebih menyeluruh untuk meningkatkan pengajaran bahasa Melayu dan pada masa sama tidak mengetepikan kepentingan bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah.

Menurut sumber, dasar baru itu dijangka bermula pada 2012 dan akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini untuk kelulusan.

Antara langkah yang dijangka diumumkan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris adalah menambah bilangan guru dan waktu pelajaran bahasa itu di sekolah, memperkenalkan subjek baru serta merapatkan jurang perbezaan pencapaian murid luar bandar dan dalam bandar.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika diminta mengulas perkara itu, berkata beliau akan mengumumkan keputusan muktamad kerajaan selepas membentangkannya kepada Kabinet tetapi enggan menyatakan butirannya.

Beliau yang juga juga Menteri Pelajaran, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian teliti termasuk perbincangan dengan pelbagai badan atau pertubuhan berkaitan pendidikan.

"Tunggulah esok (hari ini). Saya sudah mengemukakan memorandum kepada Kabinet mengenai kedudukan PPSMI dan apa yang telah dilaksanakan dan bagaimana kedudukan penguasaan bahasa Inggeris serta subjek Sains dan Matematik sejak kita melaksanakan dasar itu," katanya selepas melancarkan Projek Gerak Bakti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, dekat Muar, semalam.

Beliau berkata, kementerian sudah membuat banyak kajian dan menemui pelbagai hasil termasuk prospek masa depan PPSMI sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

"Antara yang diteliti dan menjadi perkara pokok ialah bagaimana kita meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan, di samping memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

Beliau juga berkata, keputusan mengenai kedudukan PPSMI tidak dibuat secara terburu-buru dan bukan kerana desakan serta tekanan mana-mana pihak, sebaliknya ia berdasarkan kepentingan pelajar dan keutamaan untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara. Ditanya sama ada keputusan itu adalah yang terakhir dan tiada lagi kajian selepas ini, Muhyiddin berkata pihaknya sudah menerima pandangan mengenai PPSMI sejak bertahun-tahun lalu dan sepatutnya sudah ada keputusan muktamad dicapai.

Beliau turut mengakui mengadakan perbincangan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjelaskan kedudukan PBSMI dan membentangkannya kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mendapatkan input daripada pimpinan parti.

Katanya, wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) juga akan menyuarakan pendapat pada mesyuarat Kabinet.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...