Wednesday, March 25, 2015

Melahirkan Bakat Pengajian Tinggi


Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional Diperkasa Lahir Tenaga Mahir

Putrajaya : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT) mampu memacu serta melonjak pencapaian sektor pengajian tinggi negara bagi memenuhi aspirasi untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan, berinovasi dan berminda kelas pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose, berkata sektor pendidikan perlu dijadikan sebagai segmen pelaburan yang sangat strategik bagi memacu pembangunan negara dengan menghasilkan bakat pendidikan tinggi yang cemerlang dan berkualiti.

"Kita juga harus membudaya akademik supaya kecemerlangan bakat pengajian tinggi mampu dilahirkan selain perlu juga ada sistem tadbir urus yang kukuh supaya kita boleh menarik, mengekal dan meningkatkan keupayaan akademik kita dan pada masa sama berusaha memastikan modul akademik yang sentiasa relevan bagi memenuhi keperluan pasaran," katanya.

PPPM (PT) akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 7 April ini.

Ketua Kluster lndustri dan Inovasi MPN, Prof Dr Mohamad Kamal Harun, pula berkata kerjasama jitu antara Kementerian Pendidikan dan pihak industri perlu dijalinkan bagi memperkasakan bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutama dalam usaha menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Permintaan tinggi graduan lepasan TVET
“Kita mahu TVET menjadi bidang pendidikan pilihan ramai, namun untuk menjayakannya perlu ada permintaan tinggi terhadap graduan lepasan TVET yang berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata, bakat tempatan perlu dibangunkan secara lebih menyeluruh kerana negara ini sudah bergerak ke arah penjanaan ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Semakin banyak pelaburan asing ke negara ini terutamanya dalam industri perkhidmatan teknologi dan industri ini tidak mampu untuk terus dikembangkan sekiranya bakat tempatan tidak dibangunkan,” katanya.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan MPN, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata kerajaan berusaha keras memastikan bidang vokasional menjadi pilihan utama pelajar selain bidang sains.

“Usaha itu dibuktikan dengan menaik taraf bidang vokasional termasuk dengan mewujudkan kolej vokasional selain penubuhan kolej komuniti dan politeknik.

“Semua usaha kerajaan ini bagi memastikan kita boleh melahirkan modal insan yang benar-benar djperlukan oleh negara.

“Pada masa sama meningkatkan imej bidang ini vokasional dan menepis persepsi masyarakat yang menganggap ia sistem pendidikan kelas kedua,” katanya.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 25 Mac 2015
Penulis : Irwan Shafrizan Ismail

0 comments: