Wednesday, April 8, 2015

TVET Diberi Fokus Sedia Tenaga Kerja Mahir

TVET Diberi Fokus Sedia Tenaga Kerja Mahir
Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara yang beri fokus utama bagi menyediakan tenaga kerja mahir menjelang tahun 2020.

Menerusi Lonjakan Keempat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, PPPM (PT), kerajaan menyasarkan peningkatan enrolmen dalam bidang berkenaan bagi melahirkan lebih ramai graduan TVET pada masa depan.

Perkara utama yang diberi perhatian dalarn usaha itu ialah menghapuskan anggapan negatif masyarakat terhadap TVET yang dianggap kurang menarik berbanding pendidikan universiti.

Menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP), negara memerlukan peningkatan 2.5 kali ganda enrolmen TVET menjelang tahun 2025.

Generasi muda juga harus diberi kesedaran bahawa TVET turut menjanjikan peluang kerjaya yang luas dan mampu memberi pulangan lumayan.

Kolej komuniti, kolej vokasional dan politeknik akan menyediakan pendidikan tinggi TVET terbaik bagi meningkatkan kemahiran pelatih seiring keperluan industri serta menambah peluang kemajuan kerjaya.

Kerjasama pihak industri
Enrolmen program TVET juga akan berkembang dengan ketara menerusi kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan penawaran benar-benar memenuhi permintaan.

Inisiatif utama termasuk membabitkan pihak industri untuk turut merangka dan melaksanakan model kurikulum baharu serta meningkatkan kualiti penyampaian menerusi program perantisan, latihan amali, simulasi dan latihan khusus.

Tingkat kecekapan kos
Penambahbaikan juga membabitkan penyelarasan dengan pelbagai agensi penyedia TVET bagi mengurangkan pertindihan program, mengoptimum sumber membolehkan pengkhususan dalam bidang kepakaran dan meningkatkan kecekapan kos.

Sementara itu, penyelarasan akan turut dilakukan dengan kementerian dan agensi lain yang turut menawarkan program TVET untuk memperkemas rangka kerja kelayakan kebangsaan, memastikan penjajaran dengan persatuan mewakili industri utama dan usaha mendapatkan akreditasi antarabangsa.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 08 April 2015
Penulis : Noor Azlina Zainudin, Rosniza Mohd Taha, Basir Zahrom, Nurul Fhatihah Zakinah dan Luqman Arif Abdul Karim

0 comments: