Saturday, July 14, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : 38,549 dapat tempat di IPTA untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2012/2013

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Putrajaya: Seramai 38,549 lepasan Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2012/2013. Jumlah itu mewakili 73.5 peratus daripada 52,430 calon yang layak serta melepasi Syarat Am Universiti dan Syarat Khas Program Pengajian.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata jumlah calon layak susut 1.5 peratus berbanding tahun lalu berikutan jumlah calon mengemukakan permohonan berkurangan kepada 63,467 iaitu susutan 1.9 peratus.

Beliau berkata, antara faktor penyumbang kepada penurunan ini ialah ketidaksediaan pelajar menerima kursus selain pilihan mereka, merit rendah, profil kependudukan dan tidak menduduki Ujian bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

“Bagaimanapun, peratus pelajar cemerlang yang mendapat tempat dan memenuhi pilihan program meningkat pada tahun ini,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Rujhan berkata, jumlah tempat ditawarkan tahun ini berkurangan antara 3,000 hingga 4,000 berbanding tahun lalu kerana lima Universiti Penyelidikan menumpukan kepada pengambilan pelajar lepasan siswazah.

Pada masa sama, hanya 50 peratus pengambilan dilakukan di kalangan pemohon bagi program pendidikan kerana tidak menerima unjuran keperluan guru daripada Kementerian Pelajaran.

Bagaimanapun, katanya, kementerian akan menggunakan strategi mengalihkan pelajar ke universiti komprehensif yang lain mulai tahun ini.

Beliau berkata, 5,154 calon berjaya mengikuti program berdaya saing yang dipohon termasuk perubatan (875 orang), pergigian (170 orang), farmasi (295 orang), undang-undang (354 orang), kejuruteraan kimia (666 orang), kejuruteraan mekanikal (1,071 orang), kejuruteraan elektrik dan elektronik (919 orang) serta perakaunan (804).

Calon boleh semak status permohonan melalui laman sesawang http://upu.mohe.gov.my; http://www.jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my bermula hari ini.

Mereka juga boleh menghubungi talian hotline 03-88706767, Helpline 03-88706777, talian am 03-88706755/6766 atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

Calon yang gagal boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan melalui e-rayuan di laman sesawang http://upu.mohe.gov.my mulai hari ini dan berakhir 22 Julai. Tarikh pendaftaran pelajar baru ke IPTA ialah dari 1 sehingga 2 September ini.

0 comments: