Saturday, August 1, 2009

Petikan Daripada Berita Harian : Saham Percuma Untuk Siswa

Oleh Norfatimah Ahmad dan Kamarulzaidi Kamis
bhnews@bharian.com.my

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia), semalam.

50,000 pelajar tahun pertama peringkat ijazah IPTA diberi 100 unit AS 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai 50,000 pelajar tahun pertama peringkat ijazah pertama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendaftar pada sesi pertengahan tahun ini, akan diberi 100 unit Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) secara percuma.

Warga emas pula diberi peluang melanggan saham itu pada had maksimum 100,000 unit yang akan dibuka kepada langganan awam selama 30 hari bermula 5 Ogos.

Insentif itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis pelancaran Tabung AS 1Malaysia di sini, semalam.

Amanah saham itu yang lahir daripada visi gagasan pentadbiran Najib - 1Malaysia - adalah dana ekuiti harga tetap RM1 seunit dengan saiz berjumlah 10 bilion unit, yang terbesar ditawarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Najib berkata, saham percuma untuk pelajar IPTA bernilai RM5 juta itu diberi sebagai insentif kepada golongan muda supaya menjadi warga negara berwawasan dan progresif serta bijak membuat keputusan dalam bidang pelaburan serta perancangan kewangan.

Beliau berkata, saham percuma itu disumbangkan PNB dan ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), iaitu Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank dan Pos Malaysia Berhad.

Perdana Menteri berkata, perhatian istimewa kepada warga emas berusia lebih 55 tahun pula bertujuan menghargai sumbangan golongan itu dalam pembangunan ekonomi negara, selain memberi mereka peluang merancang keperluan persaraan.

"Apabila ambil alih pemerintahan, saya janjikan genap 100 hari pentadbiran saya akan lancarkan tabung dana khas, iaitu Tabung Amanah Saham 1Malaysia dan hari ini genap 120 hari pentadbiran saya... syukur Alhamdulillah janji itu dapat ditunaikan.

"Berdasarkan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, jika mahu melakukan sesuatu ia perlu dibuat secepat mungkin supaya manfaat dirasai rakyat dengan pantas.

"Malah, saya juga berhasrat mewujudkan lebih banyak titik sentuhan untuk mendekati rakyat dan Amanah Saham 1Malaysia adalah satu daripadanya," katanya.

Pada majlis itu, Najib diberi penghormatan sebagai penerima pertama buku pelaburan AS 1Malaysia.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

AS 1Malaysia boleh dilanggan dengan jumlah pelaburan permulaan minimum 100 unit, manakala pelaburan tambahan minimum sebanyak 1 unit.

Sepanjang tempoh tawaran awal selama 30 hari berakhir 3 September, penetapan peruntukan dibuat berdasarkan polar kepen-dudukan negara ini, iaitu 50 peratus daripada unit AS 1Malaysia ditawarkan kepada Bumiputera, Cina (30 peratus), India (15 peratus) dan lima peratus kepada kaum lain.

Selepas tempoh itu, had pelaburan yang ditetapkan termasuk 50,000 unit bagi setiap pemegang unit berusia 18 hingga 55 tahun akan dihapuskan, bagaimanapun bergantung kepada unit yang masih ada untuk dilanggan.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata AS 1Malaysia adalah model unik yang menyediakan peluang kepada masyarakat majmuk dan tidak hanya menjurus kepada sesuatu kaum.

"Saya harap penyertaan seluruh rakyat Malaysia tidak hanya terhad kepada dana ini saja, tetapi juga penyertaan dan penerimaan PNB dalam aktiviti perniagaan tempatan dapat ditingkatkan.

"Berdasarkan rekod pencapaian PNB, saya yakin tabung ini akan dilanggan dalam tempoh masa yang tidak berapa lama kerana sebelum ini Dana Amanah Saham Malaysia sebanyak 1 bilion unit habis dilanggan dalam masa 45 minit saja," katanya.

Beliau berkata, situasi sedemikian mencerminkan keyakinan rakyat kepada pentadbiran PNB untuk mengendalikan saiz unit sebanyak 10 bilion kerana sebelum ini 9.5 juta rakyat menjadi pemegang kepentingan dalam saham yang dikendalikan PNB.

Perdana Menteri berharap semua pihak melihat dan menganggap PNB sebagai institusi yang mesra dengan daya saing tinggi supaya setiap visi yang diimpikan untuk AS 1Malaysia dapat dilaksanakan.

"Sokongan yang saya maksudkan ialah supaya kalangan perniagaan dapat memberi ruang kepada PNB melabur atau menambah pegangan dalam syarikat baru yang berpotensi dan mampu memberi pulangan tinggi," katanya.

2 comments:

Lidah Boye said...

x adil...haha

jaarsmtd said...

dalam dunia ni mana
ada yang adil ;p