Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadhshahrul@hmetro.com.my
PERSOALAN sama ada dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan atau tidak akan diumumkan Julai ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau memberi jaminan keputusan yang akan diambil kerajaan berkaitan dasar PPSMI akan memberikan kebaikan kepada murid, guru dan masa depan negara.
Beliau berkata, analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan dalam tempoh terdekat kertas itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.
“Apa saja keputusan yang dibuat, biarlah ia untuk kebaikan rakyat selari dengan gagasan ‘Rakyat Didahulukan’ seperti yang dihasratkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak),” katanya ketika menjawab soalan asal Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat, semalam.
Tan sebelum itu mahu mengetahui langkah bagi memperbaiki pelajaran termasuk PPSMI, standard guru di semua peringkat serta pelbagai jenis sekolah.
Beliau juga mahu mendapatkan penjelasan kejayaan kementerian dalam menguatkuasakan persekolahan wajib terutamanya di luar bandar.
Mengulas lanjut isu yang dibangkitkan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sudah memikirkan implikasi terhadap murid yang terbabit dalam PPSMI sejak 2003 hingga sekarang.
“Mereka adalah kelompok murid yang mengikuti pelaksanaan dasar ini dengan baik dan kelompok murid sebaliknya,” katanya.
Wednesday, June 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment