Friday, November 28, 2008

BERITA BAIK UNTUK PEMINJAM PTPTN

ISYTIHAR STATUS PINJAMAN PTPTN UNTUK CAS BARU

Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian. com.my

KUALA LUMPUR: Semua 1.04 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang meminjam daripada perbadanan itu sebelum 1 Jun 2008, perlu mengisytiharkan status pinjaman bagi melayakkan mereka mendapat caj perkhidmatan hanya satu peratus mulai tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peminjam terbabit perlu pergi ke pejabat cawangan PTPTN untuk mengemas kini kontrak mereka.

"Peminjam yang mahu menerima penurunan kadar caj pinjaman daripada tiga peratus kepada satu peratus, perlu memaklumkan kepada PTPTN mereka sedia menerima perubahan itu kerana ia membabitkan kontrak.


"Kalau mereka tidak menunjukkan mahu menerima perubahan itu, selagi itulah kadar caj kekal tiga peratus. Jadi, peminjam perlu kembali ke PTPTN. Ada kalanya, apabila kerajaan sudah beri macam-macam, mereka nak suruh suapkan pula dan hanya menunggu tanpa berbuat apa-apa," katanya.


Beliau kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara PTPTN, sebagai ejen kutipan bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) yang menyediakan program perkhidmatan penabungan elektronik, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.


September lalu PTPTN mengumumkan, dokumen surat tawaran perjanjian dengan kadar caj baru akan diedarkan Januari 2009 kepada peminjam sedia ada dan yang sudah menamatkan pengajian. Mereka diberi tempoh sebulan untuk melengkapkan dokumen itu sebelum memulangkan semula kepada PTPTN.


Pada majlis sama, Mohamed Khaled mengulangi saranan supaya masyarakat, terutama ibu-bapa, supaya menyertai SSPN bagi memas-tikan anak-anak mereka layak mendapat pinjaman PTPTN.

"SSPN yang sudah dimulakan empat tahun menjadi asas bagi pelajar untuk mendapat pinjaman dan mereka yang menabung turut mendapat pelbagai insentif termasuk potongan cukai," katanya sambil menambah hingga kini simpanan dalam skim itu berjumlah RM165.3 juta membabitkan seramai 573,880 pemegang akaun.

Beliau berkata, kerjasama dengan institusi perbankan seperti Maybank lebih memudahkan urusan menyimpan dan pembayar balik pinjaman PTPTN. Perangkaan terbaru menunjukkan sejumlah RM25.89 bilion sudah disalurkan sebagai pinjaman oleh PTPTN kepada 1.25 juta peminjam.


Kerjasama yang dijalin semalam sekali gus menyaksikan Maybank melancarkan siri perkhidmatan penabungan elektronik lengkap yang merangkumi lima saluran penabungan iaitu menerusi mesin ATM, mesin deposit tunai (CDM), Maybank2u.com, `Kawanku Phone Banking' dan pembayaran di kaunter.


* PETIKAN DARIPADA BERITA HARIAN

0 comments: