Friday, September 7, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Subjek Sejarah dirombak

Oleh Nazura Ngah

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang merangka kurikulum baru subjek Sejarah sekolah menengah untuk melahirkan warganegara bersemangat patriotisme yang tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia berpandukan perakuan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah. Tumpu pada kurikulum.

Beliau berkata, ia juga selaras dengan perhatian khusus kerajaan terhadap kandungan kurikulum subjek Sejarah di sekolah.

Jawatankuasa khas dipengerusikan Tan Sri Omar Mohd Hashim (Pengerusi Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)) mempunyai tugas besar dan berat.

Laporan sudah diserahkan dan Insya-Allah akan dilaksanakan, katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis PSM ke-57, di Wisma Sejarah di sini, semalam.

Jawatankuasa khas yang ditubuh pada Mei 2011 dianggotai 10 pakar sejarah bertujuan membantu mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah.
Ia bagi memastikan subjek itu mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cintakan tanah air, sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Malaysia.

Penubuhannya juga selaras dasar kerajaan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus peringkat SPM mulai 2013.

Zaman yang menganggap Sejarah boleh diajar oleh sesiapa saja dan menganggap ia sebagai satu mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

Kita mahu Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dengan perhatian yang serius dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam mengenai ilmu itu, katanya.

0 comments: