Monday, September 3, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : PAV diperluas ke 150 sekolah mulai 2014

Kuala Lumpur : Progam Asas Vokasional (PAV) khusus untuk pelajar Tingkatan Satu yang kurang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 2014, membabitkan 4,500 pelajar.                                                                                                                                                                                                               Ia lanjutan kejayaan projek perintis PAV di 15 sekolah terpilih yang bermula awal tahun ini yang mendapat sambutan menggalakkan ibu bapa, termasuk pelajar berminat menyambung sesi persekolahan dalam bidang vokasional.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata usaha sedang dilakukan untuk memperlengkapkan kemudahan prasarana seperti kelas dan alat pembelajaran supaya perluasan ke 150 sekolah dapat dilaksanakan.

Kurang tenaga pelajar
Katanya, kementerian juga sedang membuat permohonan bagi mendapatkan tenaga pengajar yang masih kurang, khususnya bagi mengajar PAV.

"Tahun ini  Kementerian Pelajaran Malaysia membelanjakan kira-kira RM29 juta untuk menambah alat dan kelengkapan di 150 buah sekolah, manakala tambah ruang dilaksanakan tahun hadapan.

"Dari segi pemilihan pelajar, ketika ini kita utamakan pelajar yang amat memerlukan iaitu kurang baik pencapaian dalam akademik supaya mereka boleh tumpu kepada bidang kemahiran," katanya kepada BH, semalam.

Program PAV yang dirangka khusus untuk pelajar menegah rendah berusia 13 tahun hingga 15 tahun antara lainnya bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Pelajar di Tingkatan Satu akan diajar enam bidang asas vokasional antaranya kejuruteraan, pertanian dan ekonomi rumah tangga, manakala pengkhususan dalam 20 bidang pilihan boleh dibuat apabila berada di Tingkatan Dua.

Melalui PAV juga, pelajar ditawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua apabila menamatkan pembelajaran Tingkatan Tiga sebelum boleh memilih sama ada mahu ke alam kerjaya atau menyambung pengajian di Giat Mara, Institut Latihan Industrian (ILP) atau Kolej Vokasional (KV).

0 comments: