Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
Kabinet beri kelulusan tangani masalah tunggakan hutang
KUALA LUMPUR: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tahun ini akan menjadi kumpulan pertama yang merintis pembayaran balik melalui potongan gaji secara automatik menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ia berikutan Kabinet secara prinsipnya sudah bersetuju, minggu lalu, supaya LHDN diberi tanggungjawab menjadi ejen kutipan berkenaan bagi mengatasi masalah tunggakan hutang oleh peminjam yang dihadapi perbadanan itu sejak kebelakangan ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata melalui pendekatan terbaru itu, pelajar terbabit akan terus diberikan nombor akaun LHDN ketika menandatangani dokumen perjanjian untuk mendapat pinjaman PTPTN bagi memudahkan pembayaran balik pinjaman dibuat.
“Pelajar yang membuat pinjaman PTPTN tahun ini mungkin menjadi kumpulan pertama yang perlu membayar balik melalui kaedah berkenaan dan pembayaran akan bermula apabila mereka tamat pengajian dan mendapat pekerjaan sama ada dengan kerajaan atau swasta.
“Bagaimanapun, ini akan dibuat berdasarkan persiapan LHDN kerana ia membabitkan pemindaan akta,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Laporan akhbar sebelum ini memetik Mohamed Khaled sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana lebih RM5 bilion setahun menjelang 2013 bagi membiayai pinjaman pendidikan yang bertambah disebabkan meningkatnya pelajar yang memasuki pusat pengajian tinggi memerlukan pinjaman.
Tahun lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan lebih RM3.2 bilion hutang pinjaman masih tertunggak dengan RM1.535 bilion membabitkan peminjam yang gagal dikesan.
Perbadanan itu dijangka mengalami defisit sebanyak RM46 bilion pada 2020 jika peminjam PTPTN mengelak membayar balik tunggakan pinjaman dan keadaan berkenaan akan memaksa Kementerian Pengajian Tinggi menjalankan kajian kemampuannya memberi pinjaman pada masa depan walaupun daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Sejajar perkembangan terkini itu, Mohamed Khaled berkata, PTPTN dan LHDN akan mengadakan perbincangan lebih lanjut untuk menentukan mekanisme pelaksanaan terbabit yang disasarkan selesai dalam tahun ini untuk memastikan peminjam dapat membayar balik pinjaman dengan cara lebih berkesan.
#PS Daripada Admin - Hendak belajar perlukan duit, selepas tamat pengajian di IPTA atau IPTS belum tentu mendapat pekerjaan yang tetap tetapi perlu membayar balik pinjaman. Di tangan kanan ada segulung ijazah namun di tangan kiri terdapat penyata pinjaman yang sangat membebankan. Oleh itu para pelajar perlulah berusaha untuk mendapat biasiswa, kalu tidak sampai beranak pinak masih berhutang dengan PTPTN itu.....
Wednesday, May 12, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment