Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger





Jika ingin mencari soalan-soalan dan SKEMA JAWAPAN dalam blog ini dengan pantas, sila "Search Button" di bawah ini.

Tuesday, June 26, 2012

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Daripada sampah kepada diesel

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Plastik merupakan salah satu bahan yang paling banyak digunakan hari ini bermula daripada kegunaan membungkus makanan sehinggalah sektor pembuatan pakaian.

Bahan ini telah digunakan secara meluas dan kesan penggunaan plastik yang keterlaluan telah menyebabkan alam sekitar terjejas berikutan plastik yang dibuang tidak dapat diurai dalam masa terdekat.

Kini kempen mengurangkan kegunaan beg plastik sedang giat disebarkan kepada masyarakat namun bagi Shamsul Bahar Mohd. Nor ia bukanlah suatu penyelesaian yang ideal.

Beliau berpendapat, selagi plastik terus dihasilkan ia akan digunakan oleh manusia kerana plastik merupakan salah satu bahan alternatif termurah dan mudah diperoleh.

Justeru, beliau mencuba alternatif lain yang mana plastik dapat terus dihasilkan dan digunakan pada masa yang sama ia tidak akan mencemarkan alam sekitar.

Jelas Shamsul Bahar, beliau merupakan salah seorang pemain utama dalam pengeluaran beg plastik melalui syarikatnya iaitu Saham Utama Sdn. Bhd di negara ini.

"Oleh yang demikian saya sendiri tampil dengan idea untuk mengitar semula bahan ini kepada sesuatu yang boleh digunakan, malah ia pasti diperlukan iaitu minyak diesel.

"Ini kerana plastik adalah berasal daripada bahan berasaskan petroleum dan ia boleh diurai menerusi proses tertentu agar kembali kepada bentuk asal iaitu minyak," ujarnya.

Bercerita kembali bagaimana idea tersebut timbul, Shamsul Bahar berkata, ia bertitik tolak daripada kilang plastik yang beliau usahakan kini.

"Semasa proses pembuatan plastik di kilang pastinya ada satu dua produk yang mengalami masalah dan ia akan diasingkan kerana tidak dapat digunakan apatah lagi dijual.

"Semakin lama semakin banyak, sehingga memenuhi ruang penyimpanan kilang dan saya perlu mengeluarkan kos untuk melupuskan barangan buangan ini," katanya.

Beliau mula mencari penyelesaian dan akhirnya menemui teknologi penguraian plastik kembali menjadi minyak diesel.

Memiliki latar belakang kejuruteraan minyak dan gas memberikan kelebihan kepada Shamsul yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Syngas Sdn. Bhd. untuk memajukan teknologi tersebut di negara ini.

Katanya, plastik yang dihasilkan kini berasal daripada petroleum justeru proses yang sama digunakan untuk menukarkan plastik kembali kepada minyak.

"Semua bahan yang digunakan untuk membuat plastik adalah terdiri daripada minyak seperti polypropylene (PP), polyethylene (PE) dan polystyrene (PS)," katanya.

Bagi memudahkan proses tersebut plastik yang telah dikumpul akan dihancurkan kemudian di proses menjadi bentuk pelet terlebih dahulu.

Seterusnya, plastik di dalam bentuk pelet tersebut akan dipanaskan di dalam injected machine sehingga cair.

Kemudian, plastik dalam bentuk cecair tersebut akan dialir kepada sebuah reaktor diberikan tekanan sehingga molekul plastik didalam bentuk cecair terurai dan bertukar menjadi gas.

Gas (gas hidrokarbon) yang terbentuk akan dialirkan ke kebuk khas dan ia akan disejukkan dan disuling pada suhu tertentu untuk membentuk minyak diesel semula.

Proses tersebut mampu menghasilkan satu liter (l) minyak diesel bagi satu kilogram (kg) bahan plastik dan kini kilang percubaan (pilot plant) telah pun dibina dan berjaya mengeluarkan hampir 5,000 l sehari.

Di Malaysia, minyak yang dihasilkan mungkin tidak semurah seperti minyak diesel yang sedia ada, namun penghasilan minyak daripada bahan plastik ini memiliki kelebihannya yang tersendiri.

Dikenali sebagai Syngas, minyak yang dihasilkan melalui proses tersebut memiliki kandungan sulfur yang lebih rendah berbanding minyak lain yang setara dengannya.

Minyak ini juga melepasi ujian standard Euro IV bagi Index Cetane sekali gus menjadikannya lebih mesra alam dan boleh digunakan dalam kenderaan.

Projek kajian dan pembangunan (R&D) yang dilakukan bermula dari tahun 2007 oleh Syngas turut mendapat sokongan Technofund melalui penganugerahan dana sebanyak RM1.5 juta kemudian sebanyak RM750,000 dan dibantu oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Namun, konsep asal teknologi ini bukan untuk menghasilkan diesel untuk kegunaan secara besar-besaran tetapi untuk kegunaan pada skala yang kecil.

Malah matlamat asalnya adalah untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar akibat penggunaan bahan plastik kepada sesuatu yang boleh digunakan.

Antara sasaran Syngas Sdn. Bhd. adalah syarikat persendirian mahupun kerajaan seperti syarikat pelupusan sampah, kerajaan tempatan yang mengusahakan tapak pelupusan sampah dan syarikat-syarikat yang memiliki bahan plastik buangan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...