Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger





Jika ingin mencari soalan-soalan dan SKEMA JAWAPAN dalam blog ini dengan pantas, sila "Search Button" di bawah ini.

Tuesday, June 1, 2010

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Ibu 10 anak terima ijazah

SHAH ALAM 27 Mei - Walaupun bergelar ibu kepada 10 anak, Tuan Nor Ashikeen Tuan Mohd. Yusoff, 34, tidak pernah menjadikannya halangan untuk berjaya dalam akademik. Dia membuktikannya apabila berjaya menggenggam segulung ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-72 di sini hari ini.

Editor sebuah majalah bisnes itu menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan).

Mengikuti Pengajian Luar Kampus (PLK), beliau juga bangga kerana dapat merealisasikan impian arwah ibunya, Raja Fatimah Tuan Mohd. Yusoff yang mengharapkannya melanjutkan pelajaran walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak.

"Saya begitu bertuah kerana suami menggalakkan saya menyambung pelajaran dan sanggup membantu daripada pelbagai segi bagi meringankan tanggungjawab saya.

"Suami yang menjadi tonggak kejayaan saya pada hari ini kerana dialah orang yang bertanggungjawab membantu mendaftarkan saya melanjutkan pelajaran ke UiTM," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Tuan Nor Ashikeen berkata, dia berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat Sarjana di universiti yang sama pada Disember ini.

Menceritakan cara dia membahagikan masa untuk belajar, Tuan Nor Ashikeen memberitahu, dia akan mula mengulang kaji pelajaran dan menyelesaikan segala tugasan apabila anak-anaknya tidur.

"Saya bertuah kerana setiap kali ada peperiksaan, suami saya akan membantu saya mengulang kaji dan dia begitu bersungguh-sungguh membantu saya seolah-olah dia juga akan masuk ke dewan peperiksaan," katanya lagi.

Tambahnya, beliau berhasrat menjadi seorang pendidik bagi berkongsi pengalamannya selama 12 tahun dalam bidang penerbitan dan penulisan.

Turut menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi massa (Kewartawanan) di majlis yang sama ialah rakan sekelas Tuan Nor Ashikeen, Mohammad Mudanoran Mohamad Mushaari, 40.

Mohammad Mudanoran yang juga seorang jurugambar berkata, dia gembira kerana berjaya menamatkan pengajian selepas menempuh pelbagai halangan.

"Saya terpaksa mengorbankan cuti tahunan untuk mengulang kaji dan menyiapkan tugasan," kata bapa kepada enam orang anak ini.

Ujarnya, beliau akan menumpukan segala perhatian ketika di dalam kelas dan sekiranya tidak faham dia akan terus bertanya kepada pensyarah selain selalu berhubung dengan tenaga pengajarnya.

Katanya, selain itu dia akan cuba untuk menyalin semua nota walaupun dia tidak faham dan akan cuba untuk membacanya apabila sampai di rumah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...