Friday, December 6, 2013

PMR Guna Kaedah Baru Tahun Depan

Kuala Lumpur - Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dilaksanakan menerusi sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan peperiksaan pusat, bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata kaedah baru itu merangkumi empat komponen iaitu Pentaksiran Sekolah; Pentaksiran Pusat; Pentaksiran Aktiviti Jasmani; Sukan dan Kokurikulum dan pentaksiran Psikometrik.

Gambaran holistik potensi
Katanya, perkara ditaksir adalah pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan nilai menjurus kepada pentaksiran profil, pencapaian, perkembangan dan penyertaan murid.

Beliau berkata, laporan pentaksiran peringkat menengah rendah adalah dalam bentuk pernyataan keputusan yang memberi gambaran lebih menyeluruh dan holistik mengenai potensi murid.

"PMR tidak dimansuhkan mulai tahun depan, sebaliknya penambahbaikan dengan penekanan terhadap pentaksiran pembelajaran.

"Ia meliputi dua aspek iaitu pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran mengenai pembelajaran," katanya menjawab soalan Datuk  Sapawi Ahmad (BN-Sipitang) di Dewan Rakyat, semalam.

Sapawi meminta penjelasan Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai persediaan jika ada pelajar gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana mereka tiada kelulusan akademik selepas PMR dimansuhkan.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2010 bersetuju penambahbaikan Sistem Pentaksiran Kebangsaan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PMR menekankan kepada pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran mengenai pembelajaran.

Iktiraf sumbangan guru
Kain Ching berkata, pelaksanaan PBS juga memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah dan memberi pengiktirafan terhadap sumbangan guru dalam pencapaian murid.

"Jaminan kualiti yang merangkumi aktiviti pementoran, pemantauan, penyelarasan dan pengesanan dilaksanakan di semua peringkat bagi menjamin kesahan dan kebolehpercayaan pentaksiran," katanya.

PMR Guna Kaedah Baru Tahun Depan



0 comments: