Friday, February 26, 2010

Info Awal : Pengumuman Keputusan SPM 2009

Kepada semua pelajar yang menunggu keputusan SPM 2009, maklumat terkini yang diperolehi mengatakan bahawa keputusan SPM 2009 akan dikeluarkan pada 11/03/2010 Hari Khamis, oleh itu diharapkan semua pelajar bersabar dan sila menunggu pengumuman sebenar tarikh tersebut. Harap maklum...

Tuesday, February 23, 2010

Petikan Daripada Berita Harian : NUTP mahu sekolah, MSN diajak bincang

Kementerian perlu cari kata sepakat wajib pelajar sertai satu jenis sukan tahun depan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Kementerian Pelajaran membincangkan dengan lebih mendalam dengan sekolah, guru dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pelaksanaan keputusan mewajibkan semua pelajar menyertai satu jenis sukan mulai tahun depan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata perbincangan itu perlu bagi menguntungkan kedua-dua pihak iaitu guru dan pelajar.

Tidak semestinya tenaga pengajar terdiri daripada jurulatih profesional, tetapi kita juga mengalu-alukan bekas atlit yang mempunyai pengalaman untuk dikongsi bersama pelajar.

"Guru besar dan pengetua juga perlu mengubah sikap mereka dan menjadikan sukan antara subjek penting di sekolah selain akademik," katanya mengulas cadangan Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar sekolah rendah dan menengah mengambil satu jenis sukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, jawatankuasa sementara akan ditubuhkan bagi mengkaji untuk memberikan kredit kepada pelajar menyertai sukan.

Hashim berkata, langkah itu memberi peluang kepada guru terutama yang mempunyai ijazah sains sukan memanfaatkan ilmu mereka.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata keputusan itu antara cara meningkatkan martabat sukan dan melahirkan jaguh peringkat dunia.

"Untuk merealisasikan peraturan ini, kementerian perlu bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan. Cara ini dilakukan sekolah seperti di New Zealand dalam bidang sukan seperti gimnastik," katanya.

Petikan Daripada Bernama : Pendaftaran SPM dan STAM Tahun 2010

KUALA LUMPUR: Pendaftaran untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2010 dibuka mulai 1 Mac.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam kenyataan semalam berkata, tarikh akhir pendaftaran ialah pada 31 Mac.


Borang pendaftaran calon persendirian boleh didapati di Jabatan Pelajaran Negeri berhampiran dan borang pendaftaran calon sekolah boleh didapati di sekolah.


Menurut LPM, pendaftaran lewat tidak akan dilayan dan maklumat terperinci pendaftaran ini boleh didapati dengan melayari http://www.moe.gov.my/pm. - Bernama

Monday, February 22, 2010

Info Terkini : Kemasukan Pelajar Tingkatan 4 Ke SM Teknik Dungun

Kepada semua pelajar Tingkatan 4 yang berminat untuk menyambung pembelajaran di aliran Teknikal, masih terdapat kekosongan di SM Teknik Dungun, di mana kekosongan ini melibatkan semua aliran iaitu Pengajian Elektrik, Pengajian Mekanikal dan Pengajian Awam.

Setiap pemohonan mestilah melepasi kriteria iaitu :
  • Bahasa Malaysia - B
  • Bahasa Inggeris - B
  • Matematik - B
  • Sains - B
  • Kemahiran Hidup - B
Semua permohonan mestilah melalui Tuan Pengetua, Tuan Haji Alwi B. Mohd Ali atau Penolong Kanan Pertadbiran, En. Mohd Yatim Bin Mat, dengan menghubungi pihak sekolah melalui telefon di talian 09-8452700 atau datang sendiri ke pejabat sekolah dengan membawa slip keputusan PMR 2009 dan salinan kad pengenalan.

Setiap permohonan yang berjaya, inyaallah kemudahan asrama akan disediakan. Rebutlah peluang yang masih terbuka ini.

"SELAMAT BERJAYA"

Friday, February 19, 2010

Petikan Daripada Harian Metro : Keputusan STPM 2009 diumum Khamis depan

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM nombor kad pengenalan dan hantar ke 36363, atau menaip STPM Result nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh itu.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan jam 11.30 pagi pada tarikh yang sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM.

Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian. - Bernama


Sunday, February 14, 2010

Petikan Daripada Harian Metro : Kempen aib (Kempen ‘no panties’)

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB dan YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB
yusliza@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kempen ‘no panties’ (tanpa seluar dalam) yang dipromosikan di kalangan penuntut wanita di institusi pengajian tinggi (IPT) sempena Hari Kekasih mendapat reaksi negatif daripada kebanyakan pelajar yang rata-rata mengutuk tindakan individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab mempromosikannya.

“Sebagai masyarakat Timur yang berpegang pada adat dan budaya, tidak sepatutnya perkara ini berlaku, lebih-lebih lagi di kalangan pelajar yang seharusnya mengisi waktu terluang dengan perkara berfaedah.

“Malah daripada sudut agama sudah jelas Hari Kekasih diharamkan, apatah lagi menyambutnya dengan pelbagai cara yang bertentangan ajaran Islam.

“Justeru, pelajar khususnya beragama Islam perlu menjauhi perkara ini supaya perjuangan mereka menuntut ilmu di menara gading mendapat keredaan Allah,” katanya, semalam.

Adyani yang juga pelajar tahun kedua Fakulti Pendidikan Universiti Malaya berkata, sepatutnya sambutan seumpama ini tidak perlu wujud kerana banyak cara lain boleh dilakukan untuk menghargai pasangan masing-masing.

Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Norizzati Abdullah, 20, pula menyifatkan kempen yang menyarankan gadis tidak memakai seluar dalam ketika keluar dengan pasangan sempena Hari Kekasih sebagai menjijikkan dan memalukan wanita.

“Lebih mendukacitakan kerana ia mendapat sambutan beberapa pelajar Melayu beragama Islam. Jelas menunjukkan mereka hanya mempunyai ilmu tinggi tapi pegangan agama cetek.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau tindak-tanduk anak mereka yang menuntut di IPT supaya perkara sebegini dapat dihindari,” katanya.

Harian Metro semalam turut melaporkan, wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Selangor mengecam kempen itu di kalangan penuntut wanita di IPT.

Ketuanya, Dr Ruziaton Hasim, berkata sungguh menyedihkan apabila usaha itu tidak dilihat sebagai tindakan menjijikkan di kalangan penuntut wanita, malah disambut dengan gembira.

Malah, pertubuhan bukan kerajaan itu juga berharap semua pelajar wanita, terutama golongan Muslim, menjauhi promosi itu kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam serta amalan murni masyarakat.

Sementara itu, “Haram bagi setiap umat Islam menyambut Hari Kekasih,” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang mengingatkan umat Islam, khususnya remaja, supaya tidak terpengaruh dengan budaya Barat yang meraikan Hari Kekasih atau ‘Valentine’s Day’ yang disambut hari ini.

Sebagai umat Islam, Harussani berkata, konsep menyambut Hari Kekasih setiap 14 Februari perlu ditolak berikutan ia sebenarnya hari memperingati kematian seorang paderi anti-Islam, Saint Valentine, yang dijatuhkan hukuman bunuh pada tarikh itu.

Katanya, jika ada individu menyambut Hari Kekasih, secara tidak langsung mereka turut menyokong kematian paderi itu.

Selamat Tahun Baru Cina


Kepada semua kaum Cna warga pendidik khususnya dan kaum Cina dalam Malaysia ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Tahun Baru Cina", semoga kekayaan dan keamanan negara ini dapat dikongsi bersama. Diharapkan kedatangan tahun baru akan membawa keuntungan dan kebahagian buat semua.

p/s : Tak sabar menunggu kelahiran anak ke-4 aku hujung bulan ini, anak tahun rimau Gggggrrrrrr.......

Thursday, February 11, 2010

Shareapic ialah laman untuk menyimpan gambar dimana mereka akan membayar kepada anda apabila anda memuat naik gambar-gambar dan berkongsi gambar-gambar tersebut. Anda boleh memuat naik gambar tanpa had bagi bilangan gambar dan juga saiznya.

Sama seperti laman web yang memberikan perkhidmatan menyimpan gambar, Sharepic menawarkan perkhidmatan menyimpan gambar PERCUMA dan anda boleh memaparkan ke laman web yang lain seperti MySpace, Blogger, Facebook dan lain-lain. Pembayaran akan dibuat kepada anda apabila duit anda telah mencapai $20.00 dan dibayar terus ke akaun Paypal anda.


Jadi, berapakah bayaran yang akan anda terima bagi setiap paparan gambar tersebut. Di sini saya membuat contoh pengiraan mudah :

  • Katakan Sharepic ingin memberikan $1000 kepada pengguna yang berdaftar dan terdapat 5000,000 gambar yang dipaparkan pada bulan tersebut. Maka, setiap gambar yang dipaparkan bernilai $0.0002, bermaksud $0.2 bagi setiap 1000 paparan gambar. Jika anda mempunyai forum atau blog yang trafik pengunjungnya yang tinggi, maka bayangkan jumlah pendapatan tambahan anda bagi bulan tersebut. Lumayan jugak kan?

Disamping gambar yang anda kongsi pada blog anda itu, anda juga boleh mengabungkan kod Adsence pada gambar tersebut. Apabila pengunjung klik pada iklan tersebut, anda turut mendapat duit juga. Anda juga boleh mengajak rakan dan pengunjung untuk menjadi ahli Sharepic. Setiap rakan yang berdaftar, anda akan menerima 10% keuntungan selamanya.

Maka anda boleh mendapat duit dengan 3 cara dengan menggunakan Sharepic ini iaitu : jumlah paparan gambar, Adsence dan program pengumpul ahli berdaftar. Maka, daftarlah sekarang dan mulalah mengumpul duit.....Klik ikon di bawah untuk mendaftar....

Monday, February 8, 2010

Petikan Daripada Berita Harian : Silibus Kelas Ekspres

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memperkenalkan silibus mampat bagi membolehkan murid pintar Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) terus melompat ke Tahun Tiga tanpa ketinggalan dalam pembelajaran sukatan Tahun Dua.

Menerusi silibus itu, murid Tahun Satu yang lulus ujian khas berdasarkan sukatan Tahun Dua pada pertengahan Ogos ini akan mempelajari 50 peratus sukatan pelajaran awal Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan terakhir pada Tahun Satu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pada tahun depan murid terbabit akan terus ditempatkan di Tahun Tiga, tetapi akan mengikuti 50 peratus lagi sukatan pelajaran Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan pertama.

"Mereka akan mengikuti pelajaran Tahun Tiga pada April setelah lulus ujian penilaian kedua bagi sukatan Tahun Dua pada akhir Mac.

"Oleh itu, murid pintar ini dapat mengurangkan tempoh pembelajaran pada peringkat sekolah rendah setahun lebih awal, iaitu daripada enam tahun kepada lima tahun," katanya kepada Berita Harian.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemilihan kumpulan pertama 20 SBT termasuk enam sekolah rendah yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan serta kakitangan.

Autonomi berkenaan antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Alimuddin berkata, pelaksanaan ini silibus mampat itu adalah antara cadangan yang dibincangkan secara terperinci dalam makmal bidang keberhasilan utama negara (NKRA) selaras langkah kerajaan memperkenalkan SBT.

Mengenai pemberian autonomi untuk memanjangkan waktu persekolahan, beliau berkata, SBT masih tertakluk kepada jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran harian yang ditetapkan kementerian.

Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan mengenai perkara itu sedang disediakan untuk pelaksanaan SBT di mana pengetua dan guru besar diberi kuasa untuk menjalankan dan menyusun jadual anjal atau jadual waktu yang fleksibel.

Wednesday, February 3, 2010

Skala Penggredan Baru sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mulai 2010

Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas : Bil 4/2009, mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju supaya Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan sistem penggredan baru Sijil Palajaran Malaysia (SPM) mulai tahun peperiksaan 2009. Perubahan ini bertujuan memperincikan pencapaian Gred A calon yang mencapai tahap sangat cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Penggredan baru adalah seperti berikut :
  • A+ bermula 90 hingga 100
  • A bermula 80 hingga 99
  • A- bermula 70 hingga 79
  • B+ bermula 65 hingga 69
  • B bermula 60 hingga 64
  • C+ bermula 55 hingga 59
  • C bermula 45 hingga 54
  • D bermula 40 hingga 44
  • E bermula 30 hingga 39
  • G bermula 00 hingga 29