Showing posts with label Isu Semasa Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa Pendidikan. Show all posts

Friday, September 7, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Subjek Sejarah dirombak

Oleh Nazura Ngah

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang merangka kurikulum baru subjek Sejarah sekolah menengah untuk melahirkan warganegara bersemangat patriotisme yang tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia berpandukan perakuan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah. Tumpu pada kurikulum.

Beliau berkata, ia juga selaras dengan perhatian khusus kerajaan terhadap kandungan kurikulum subjek Sejarah di sekolah.

Jawatankuasa khas dipengerusikan Tan Sri Omar Mohd Hashim (Pengerusi Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)) mempunyai tugas besar dan berat.

Laporan sudah diserahkan dan Insya-Allah akan dilaksanakan, katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis PSM ke-57, di Wisma Sejarah di sini, semalam.

Jawatankuasa khas yang ditubuh pada Mei 2011 dianggotai 10 pakar sejarah bertujuan membantu mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah.
Ia bagi memastikan subjek itu mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cintakan tanah air, sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Malaysia.

Penubuhannya juga selaras dasar kerajaan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus peringkat SPM mulai 2013.

Zaman yang menganggap Sejarah boleh diajar oleh sesiapa saja dan menganggap ia sebagai satu mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

Kita mahu Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dengan perhatian yang serius dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam mengenai ilmu itu, katanya.

Tuesday, August 14, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Keputusan SPM Ulangan Khamis ini

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2011 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. - BERNAMA

Jadual Peperiksaan Percubaan SPM 2012 Negeri Terengganu


Pengumuman kepada semua pelajar Tingkatan 5 2012 Sekolah Menengah Vokasional Dungun, pastikan anda bersedia untuk menghadapi peperiksaan percubaan pada 27/08/2012 sehingga 11/09/2012.

Jadual di bawah adalah jadual yang bakal digunakan, jika terdapat perubahan, ia akan diberitahu kelak. Di harapkan semua pelajar akan mematuhi jadual tersebut.

Kepada guru-guru, diingatkan bahawa markah perlu di"key-in"kan oleh guru matapelajaran secara online melalui sistem e-pantau sebelum atau pada 20 September 2012 (Khamis) jam 12.00 tengahari.

Tarikh akhir key-in secara online melalui sistem SAPS akan dimaklumkan kemudiaan dan P&P akan berjalan seperti biasa bagi pada waktu tiada peperiksaan.

Kerjasama daripada semua pelajar dan guru amat dihargai. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Peperiksaan SMV Dungun.



Monday, August 13, 2012

Petikan Daripada Utusan Malaysia : PTPTN - 4,430 lagi dikecualikan

TEMERLOH 12 Ogos - Seramai 4,430 orang lagi pelajar dikecualikan daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya.

Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamad Said berkata, pengecualian tersebut membabitkan pembiayaan RM116.2 juta.

“Sehingga 30 Jun lepas, seramai 13,011 pelajar dikecualikan daripada membayar balik pinjaman kerana cemerlang dalam pelajaran membabitkan peruntukan RM370.70 juta," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama saudara baru Orang Asli di Kampung Penderas, Kuala Krau, semalam.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, kira-kira 70 peratus pelajar membayar balik pinjaman berikutan beberapa pendekatan dilakukan PTPTN, antaranya lebih bertolak ansur, menerima bayaran minimum RM50 sebulan dan menjadual semula bayaran balik bagi pelajar bermasalah.

Katanya, pembukaan cawangan baru PTPTN di beberapa negeri turut memudahkan orang ramai, sekali membantu meningkatkan jumlah bayaran balik pinjaman. - BERNAMA

Wednesday, August 8, 2012

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Anak peneroka disaran masuk kolej Felda

JEMPOL 7 Ogos - Anak peneroka disaran merebut peluang melanjutkan pendidikan dalam bidang kemahiran di Kolej Yayasan Felda di Feldajaya Selatan, dekat sini, bagi dijadikan nilai tambah terhadap kemahiran dan bakat sedia ada.

Pengurus kolej berkenaan, Ishak Osman berkata, kegagalan anak peneroka mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak bermakna mereka perlu terus melupakan hasrat menyambung pelajaran.

"Tempoh pengajian yang ditawarkan di sini amat pendek iaitu hanya selama enam bulan bagi sijil tahap satu seterusnya mereka boleh meneruskan pengajian sehingga ke tahap dua.

"Tambahan pula, kita mempunyai ramai tenaga pengajar yang terlatih dan ramai pelajar yang menuntut di sini sudah berjaya termasuk yang membuka perniagaan sendiri," katanya di sini baru-baru ini.

Jelas Ishak, antara kelebihan yang ditawarkan kolej tersebut ialah pelajar tidak akan dibebankan dengan kos pengajian yang tinggi.

"Mereka hanya perlu membayar RM100 sahaja pada hari pendaftaran. Tiada sebarang yuran dikenakan, malah mereka turut mendapat penginapan secara percuma.

"Untuk lulus dalam pelajaran pula pelajar dikehendaki menjalani sesi amali yang meliputi markah sebanyak 60 peratus, manakala 40 peratus membabitkan latihan teori," katanya.

Tambahnya, buat masa ini, kolej tersebut hanya menawarkan dua kursus iaitu dandanan rambut serta jahitan yang dibuka khas untuk lelaki dan wanita.

Saturday, July 28, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Tak memilih jurusan ditawarkan

Kuala Terengganu: Semua lepasan matrikulasi dan STPM dengan Gred Nilai Purata Kumulatif (CGPA) 2.8 ke atas yang gagal meneruskan pengajian, akan ditawarkan tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata semua 1,246 pelajar yang mendapat CGPA 2.8 ke atas berpeluang ke IPTA dengan syarat tidak memilih jurusan ditawarkan dengan surat tawaran akan dikeluarkan pertengahan bulan depan bagi sesi pengajian September ini.

Tiada peluang jika tolak tawaran

Jika mereka menolak tawaran itu, maka tiada peluanglah. Mereka boleh mula mendaftar seperti pelajar lain September nanti, katanya selepas merasmikan penarafan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE), di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Seri Dr Zaharudin Idrus; Ahli Lembaga Pengarah UMT, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Dengan penarafan itu, INOS diberi suntikan dana RM3 juta setahun bagi tempoh tiga tahun bermula 2012 sebagai tanda sokongan kementerian untuk melonjakkan keupayaan dan pencapaian institut berkenaan dalam bidang tujahan dan lestari ekologi marin.

UMT Institusi ketujuh diiktiraf

UMT adalah institusi pengajian tinggi ketujuh menerima pengiktirafan itu selepas Power Energy Dedicated Advanced Centre, Universiti Malaya (UMPEDAC); Medical Molecular Biology Institute, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMBI); Institute of Melocular Medicine Research dan Universiti Sains Malaysia (INFORMM).

Institute of Biological Sciences, Universiti Malaya (ISB); Centre of Drug Research, Universiti Sains Malaysia (CDR) dan Accounting Research Institute Universiti Teknologi Mara (ARI).

Dengan penarafan sebagai HICoE, ia dapat memastikan hasrat kementerian dalam memastikan aktiviti penyelidikan dan inovasi di IPT memperoleh sumber mencukupi bagi menyokong Sistem Inovasi Kebangsaan.

Tuesday, July 10, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Muhyiddin lancar Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran sekali lagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) melalui pembabitan lebih 3.6 juta murid dalam Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan, hari ini.

Senamrobik itu yang dilakukan serentak di 10,000 sekolah di seluruh negara dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Wawasan USJ 15 di sini. Dalam perutusannya semasa melancarkan program itu, Muhyiddin berkata, dasar 1Murid 1Sukan yang mewajibkan setiap murid sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sejajar dengan hasrat untuk memupuk budaya bersukan di sekolah.

"Saya bersyukur kerana dasar 1Murid 1Sukan turut memperlihat hasrat kerajaan menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana jelas terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

"Justeru, bidang sukan adalah gambaran sebenar kepada konsep 1Malaysia yang secara tidak langsung menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan murid sekolah," katanya.

Tahun lalu, kementerian mencatat nama dalam MBR melalui program Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang dijayakan oleh 4.1 juta pelajar dari 9,980 sekolah seluruh negara.

Sejurus menyampaikan ucapan, Muhyiddin bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan beberapa pegawai kanan kementerian yang lain menyertai kira-kira 2,500 murid yang bersiap-sedia di padang sekolah berkenaan untuk melakukan senamronik selama 45 minit.

Sebaik tamat, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan penyerahan sijil MBR yang beliau tandatangani kepada Abd Ghafar daripada Presiden MBR, Datuk Danny Ooi.

Muhyiddin turut merasmikan perlawanan futsal antara murid dan melawat gerai pameran.

- BERNAMA

Saturday, November 19, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Tiada cadangan selaras yuran PIBG - Puad Zarkashi

PONTIAN: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.

Katanya, bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.

"Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.

"Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan.

Mohd Puad turut mengingatkan pihak sekolah supaya tidak mengambil kesempatan memotong wang bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 yang diberikan kepada para pelajar.

Katanya, pihak sekolah atau PIBG tidak dibenarkan berbuat demikian kerana wang itu milik pelajar bagi membuat persediaan sesi persekolahan tahun hadapan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian. - BERNAMA

Wednesday, August 3, 2011

Jadual Peperiksaan Percubaan SPM Terengganu 2011


Kepada semua pelajar SMaTeD, peperiksaan percubaan SPM akan bermula pada 08.08.2011 (Isnin) sehingga 24.08.2011 (Rabu), diharapkan pelajar dapat menyiapkan diri untuk peperiksaan tersebut. Semoga kejayaan akan dikecapi atas usaha anda tersebut. Insya-Allah


Jika anda ingin memuat turun jadual tersebut, sila kilik SINI.

Sunday, July 31, 2011

Tutorial Daerah Dungun 2011

Tutorial Daerah Dungun telah diadakan selama 3 hari bermula 26/07/2011 sehingga 28/07/2011 dan ia dijalankan mengikut Pusat Kegiatan Guru (PKG) masing-masing. Pelajar SMaTeD yang terlibat sebanyak 50 orang dan ditempatkan di SMK Seri Dungun dan dikelolakan oleh Pejabat Pelajaran Dungun. Di sini dikongsi bersama bahan-bahan yang digunakan dalam tutorial ini.

  • FIZIK
  • KIMIA (dikemaskini pada 31/07/2011)
  • BIOLOGI
  • MATEMATIK
  • MATEMATIK TAMBAHAN
  • BAHASA MELAYU
  • BAHASA INGGERIS

Tuesday, July 26, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : 13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap

PUTRAJAYA: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserapkan sebagai guru tetap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata surat tawaran telah kepada semua GSTT tersebut mulai bulan lepas setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan baru kepada mereka.

"Sasaran pihak kementerian adalah mahukan semua jawatan GSTT menjadi guru tetap dan tiada lagi isu mengenai tidak sambung kontrak.

"Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini hari ini.

Mohd Puad berkata GSTT yang layak akan diserap mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti sebelum diserap sebagai guru tetap.

Mereka juga harus bersedia ditempatkan di sebarang kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara, katanya. - BERNAMA

Sunday, June 26, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Subjek Vokasional di sekolah dimansuhkan mulai tahun depan

KULIM: Mata pelajaran vokasional (MPV) akan dimansuhkan di semua sekolah harian secara berperingkat mulai tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.

"Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).

"PAV ini dikhususkan untuk pelajar peringkat Tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak.

Beliau berkata, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di sekolah menengah teknik atau vokasional sebelum ini.

"Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya Kementerian Pelajaran sudah memperuntukkan sejumlah RM242.6 juta untuk Program Biasiswa Kerajaan Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra-Universiti untuk tahun ini. - BERNAMA

Saturday, June 18, 2011

Petikan Daripada Harian Metro : PNGK bawah 2 batal PTPTN

SUNGAI PETANI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menghentikan pinjaman pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.0 ke bawah.

Anggota Lembaga Pengarahnya, Datuk Tajul Urus Md Zain berkata, tindakan itu bagi memastikan pelajar yang komited dengan pelajaran sahaja diberikan pinjaman.

“PTPTN tidak berkompromi dengan pelajar yang tidak mencapai keputusan memuaskan dan yang mendapat PNGK di bawah 2.0 secara automatik dihentikan pinjaman mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan waran pinjaman kepada pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim semalam.

Pada majlis itu, 432 pelajar dalam kawasan Parlimen Merbok menerima waran pinjaman RM1,500 setiap orang.

Sehubungan itu, Tajul Urus menasihati pelajar berusaha bersungguh-sungguh supaya tidak menghampakan ibu bapa dan kerajaan yang memberi pinjaman bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian.

“Wang PTPTN adalah duit rakyat...jadi, kami terpaksa membuat satu keputusan walaupun pahit untuk diterima,” katanya sambil mengingatkan pelajar menggunakan wang itu secara berhemah.- Bernama

Tuesday, June 14, 2011

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Program Pelajaran Ekuin diperkenal di sekolah

KUALA TERENGGANU 13 Jun - Jabatan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Majlis Ekuin Malaysia (MEM) telah memperkenalkan Program Pelajaran Ekuin kepada para pelajar di Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional sebagai subjek pilihan bermula tahun ini.

Setiausaha Eksekutif MEM, Datuk Malek Jeremiah berkata, program tersebut melibatkan pelajar tingkatan empat yang layak menyertai 'National Occupational Skills Standards in Equine 2012.'

Mereka bakal menjadi kelompok lepasan sekolah pertama yang memilih kerjaya di dalam industri ekuin.

Katanya, setakat ini, dua buah sekolah di Selangor telah dipilih menawarkan program perintis itu iaitu Sekolah Menengah Teknik Kajang dan Sungai Buluh.


"Kewujudan pelajaran ekuin di peringkat sekolah merupakan galakan tambahan kepada sukan ekuin dan ekuestrian negara apabila minat dalam sukan ini dapat diterapkan pada usia muda.

''Ia memberi peluang kepada mereka menggilap bakat lebih awal selain memberi peluang baru dalam bidang kerjaya yang makin berkembang.

"Kita yakin dengan sokongan kementerian terhadap sukan ini di kalangan pelajar mampu membawa negara berkembang lebih jauh dalam industri ekuin," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Terengganu Equesterian Resort (TER), baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, MEM sedang melatih seramai 10 orang guru dari kedua-dua buah sekolah terbabit untuk menjadi jurulatih bertauliah bagi membolehkan mereka melatih pelajar-pelajar masing-masing.

Katanya, latihan selama dua tahun itu merangkumi latihan menunggang, pengurusan, penjagaan serta peladaman kuda di mana latihan berkenaan mengikut silibus yang telah diguna pakai oleh kerajaan Australia dalam bidang yang sama.

"Selepas guru-guru tersebut tamat latihan itu, mereka akan diberi sijil tauliah dan turut berpeluang menceburi bidang ekuin selain melatih pelajar-pelajar mereka," ujarnya.

Sementara itu, Malek turut memaklumkan bahawa pihaknya turut membiayai sebuah sekolah maahad tahfiz yang terletak di Selangor untuk menyertai kelab poni selain seorang gadis dari negeri Kelantan yang dihantar ke Australia untuk mengikuti kursus Diploma Pengurusan Kuda.

"Kita berharap dengan cara ini dapat melahirkan lebih ramai mereka yang mahir dalam bidang ini," jelasnya.

Sunday, October 24, 2010

Petikan Daripada Berita Harian : Pendidikan vokasional, kemahiran fokus utama

KERAJAAN disaran merombak, menjenamakan dan menstruktur semula sekolah vokasional dan teknik mengikut arus perdana supaya kemasukan pelajar ke sekolah ini menjadi pilihan utama ibu bapa dan pelajar.

Sehubungan itu, pembentangan usul agama dan pendidikan mencadangkan supaya pendidikan vokasional dan kemahiran atau VOCTECH dijadikan fokus utama dalam usaha mengarusperdana sistem pendidikan negara supaya menepati keperluan pasaran tenaga kerja, industri dan anjakan ekonomi yang semakin terbuka.

Wakil Perak, Datuk Rosli Husin yang mencadangkan usul berkenaan, berkata sekolah aliran VOCTECH yang berorientasikan sekolah keusahawanan seharusnya dikeluarkan daripada skop kurikulum persekolahan kepada taraf pengajian tinggi.

“Tidak keterlaluan jika kita lihat pelajar lepasan institusi VOCTECH Kementerian Pelajaran sudah memiliki diploma yang setaraf dengan politeknik, kolej universiti dan universiti. Lebih serius jika bahagian pendidikan teknik kementerian dinaik taraf menjadi Jabatan Pendidikan Teknik atau VOCTECH supaya lebih fokus dan dapat mengurangkan birokrasi urus tadbir,’ katanya.

Rosli yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, turut mengetengahkan enam kerjaya profesional iaitu akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, jurutera dan juru ukur yang tidak menunjukkan jumlah Melayu dan Bumiputera melebihi atau mengatasi jumlah bukan Melayu, sedangkan majoriti di negara ini ialah Bumiputera.

Ketika menyokong usul berkenaan, wakil Puteri UMNO, Idamoerni Zakaria menyifatkan usaha menjadikan VOCTECH sebagai pendidikan arus perdana adalah sesuatu yang radikal, tetapi sangat tepat dengan keperluan industri masa kini.

Wakil Pemuda, Mohd Gasing Saling meminta Kementerian Pelajaran memberi penekanan terhadap penerapan pendidikan vokasional dan kemahiran sejak pada peringkat sekolah rendah lagi dalam transformasi sistem pendidikan yang akan dilaksanakan mulai 2016.

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Syed Mehdhar Syed Abdullah, pula memuji langkah kerajaan untuk memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Friday, October 22, 2010

Permohonan Kemasukan Ke SMT / SMV Untuk Sesi Tahun 2011

Pelajar-pelajar yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 adalah dipelawa untuk memohon ke Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) bagi sesi pengambilan tahun 2011.

Syarat-syarat Umum:
  1. Pemohon mestilah warganegara Malaysia.
  2. Pemohon hendaklah berada di Tingkatan 3 dan telah menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Tahun 2010.
  3. Dilahirkan dalam tahun 1995 atau selepasnya.
  4. Sihat tubuh badan dan sesuai dari segi fizikal. Bebas dari penyakit lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, alahan (allergy), pekak, sawan (epilepsy) yang serius dan sebagainya. (Penyakit-penyakit ini akan membahayakan terutama semasa menjalankan kerja amali).
  5. Tidak rabun warna bagi semua program Teknikal, Vokasional dan Kemahiran yang berkaitan Elektrik dan Elektronik.
Cara Memohon:

Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web: http://esptv.moe.gov.my atau datang sendiri (walk-in) ke SMV/SMT berhampiran
Tarikh bermula permohonan pada 4 Oktober 2010.

Mengubahsuai Pilihan Permohonan:

Setiap permohonan boleh diubahsuai sehingga 26 November 2010.
Rayuan Kemasukan:

Sekiranya permohonan tidak berjaya, pemohon boleh membuat rayuan terus melalui online atau terus ke SMV/SMT yang berkenaan mulai 1 Disember 2010.

Kemudahan Asrama:

Kemudahan asrama disediakan di semua SMV/SMT kecuali SMV Kuching, Sarawak, tertakluk kepada had yang ditetapkan.

Muat Turun Borang

Bagi pemohon yang tidak dapat membuat permohonan secara online, sila muat turun Borang berkaitan Kemasukan ke SMV/SMT 2011 di bawah:

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke SMV/SMT berkenaan. Tarikh akhir penghantaran Borang Kemasukan ialah 26 November 2010.

Sunday, September 26, 2010

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Lepasan UPSR mungkin dibenar ke aliran vokasional - TPM

MUAR 25 Sept. - Kerajaan akan merombak Sistem Pendidikan Vokasional Negara termasuk kemungkinan membenarkan lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mengikuti aliran kemahiran bagi meningkatkan jumlah tenaga mahir dalam pelbagai bidang industri negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk memastikan 20 peratus pelajar mengikuti aliran vokasional berbanding 10 peratus pada waktu ini.

Menteri Pelajaran itu berkata, rombakan tersebut dijangka memberi lonjakan besar kepada pendidikan vokasional negara kerana ia mengandungi beberapa elemen penambahbaikan seperti skop dan silibus mata pelajaran, kemudahan infrastruktur, keperluan industri, tenaga pengajar dan penglibatan pihak swasta.

"Pada dasarnya saya bersetuju adalah lebih baik diawalkan pelajar ini memasuki bidang kemahiran, ini memang dalam penelitian kementerian.

"Ini kerana mungkin lebih maka awal lebih panjang mereka berada dalam bidang itu dan kemahiran mereka lebih baik," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Melonjakkan Kecemerlangan Pendidikan Pagoh 2010 anjuran bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan Sekreteriat Pendidikan Parlimen Pagoh di Dewan Sri Pekembar di sini hari ini.

Program yang dihadiri kira-kira 1,000 murid tahun lima dan pelajar tingkatan empat itu turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mat Dom.

Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang memaparkan cadangan para pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang antara lain meminta kerajaan mengembangkan rakyat Malaysia yang berpotensi menjadi buruh berkualiti dalam aspek kemahiran.

Dalam blog www.1Malaysia.com.my itu, seorang pembaca yang menamakan dirinya sebgaai Mohamad menyarankan agar lepasan UPSR yang tidak berminat dengan pendidikan secara akademik dihantar ke sekolah kemahiran supara tahap keciciran persekolahan dapat dikurangkan ke paras paling minimum apabila potensi mereka boleh digilap di banyak pusat latihan kemahiran.

Muhyiddin berkata, ketika ini bidang vokasional boleh diambil oleh pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan jumlah pelajar aliran vokasional negara masih kecil berbanding negara lain.

Sedangkan, katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun bagi memenuhi keperluan industri negara.

Menurutnya, kebanyakan negara maju dan Eropah termasuk Perancis mempunyai jumlah pelajar vokasional yang tinggi manakala di Indonesia sebanyak 40 peratus pelajar mereka adalah di bidang vokasional manakala Thailand hampir 60 peratus pelajarnya mengikuti aliran kemahiran.

Selepas Perancis, tambahnya, beliau akan ke Sydney, Australia dalam bulan ini untuk bidang vokasional yang diberi perhatian serius dalam sistem pendidikan mereka.

"Dalam awal tahun depan, rakyat boleh diberitahu mengenai transformasi vokasional ini dengan lebih jelas dan pada masa yang sama kita tidak mahu ibu bapa menganggap bahawa bidang vokasional adalah pilihan kedua, ini perlu diperbetulkan," katanya.

Muhyiddin berkata, rombakan itu akan memastikan skop kemahiran yang diajar bersifat praktikal dan bukan hanya teori agar lebih mempunyai hubung kait dengan keperluan industri dan pasaran kerja.

Dalam soal logistik dan infrastruktur, katanya, pihak swasta digalakkan membina sekolah kemahiran yang bersesuaian dengan lokasi seperti sekolah elektronik di kawasan perindustrian elektronik atau sekolah berkaitan pelabuhan di kawasan terdapat pelabuhan.

Beliau berkata, sekolah swasta ini akan mengikut silibus kementerian dan dengan cara itu akan mempercepatkan usaha menghasilkan lebih ramai jumlah pelajar vokasional.

Thursday, September 23, 2010

Petikan Daripada Harian Metro : Bayar PTPTN melalui potongan gaji dijangka bermula 2013

SINTOK: Bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji dijangka hanya dapat dilaksanakan pada 2013.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana pelbagai kajian serta rundingan perlu dilakukan demi kepentingan semua pihak sebelum ia dapat dilaksana.

"Apa yang disiarkan media mengenai pemotongan gaji bermula Jun 2011 adalah
salah kerana pada tarikh itu kita jangka rundingan mengenainya baru selesai.

"Selepas rundingan itu selesai pertengahan tahun depan, kita kena bentang
pada Kabinet dan pinda undang-undang bertepatan sebelum melaksanakannya,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun pada dasarnya kerajaan bersetuju dengan kaedah mewajibkan bayaran balik pinjaman itu secara potongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), namun masa yang sebenarnya belum ditetapkan.

Malah kata Mohamed Khaled, jika dilaksanakan ia mungkin hanya diwajibkan ke
atas peminjam baru manakala bayaran balik peminjam lama adalah mengikut kaedah
sedia ada.

Selain itu kata beliau, pihaknya juga akan menetapkan gaji minima bagi membolehkan pemotongan dibuat.

Baru-baru ini PTPTN dilapor akan melaksanakan pemotongan gaji secara
wajib bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjam yang gagal berbuat
demikian mulai Jun tahun depan.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said dilapor berkata semua peminjam terutama lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya, diwajibkan membayar balik pinjaman itu secara potongan gaji melalui LHDN.

Sementara itu, mengenai rungutan sesetengah peminjam bahawa mereka masih
menanggung kos pentadbiran sebanyak tiga peratus walaupun PTPTN mengurangkannya kepada satu peratus, Mohamed Khaled berkata langkah penyeragaman tersebut akan mengambil masa.

Ini kerana katanya, PTPTN terpaksa menyemak satu persatu dokumen lebih 1.5
juta peminjam.

"Setiap peminjam buat bayaran tak sama, ada yang lebih ada yang kurang, jadi
kita kena kira satu-satu sebab tu ambil masa sikit nak tukar dari tiga peratus
kepada satu peratus.

"Yang penting jangan risau sebab caj satu peratus itu memang dilaksanakan," katanya.

Mohamed Khaled sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani memorandum
persefahaman di antara Universiti Utara Malaysia dan University of Nottingham,
Malaysia Campus. - Bernama

Monday, August 23, 2010

Petikan Daripada BERNAMA : Embrace change to succeed

Noor Rezan says that while teachers should rely on their knowledge and expertise they should not dismiss other educational tools

PROGRESS in the country’s education system as mapped out by the National Key Result Areas (NKRA) can be achieved only if educationists are willing to embrace and adapt to change.

(The Education NKRA is the platform and initiative to improve the students performance in schools apart from providing them with the access to better education quality.)

Education Deputy Director-General (Educational Operations Sector) Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim said educationists must be willing to deal with issues and the various challenges ahead to ensure that all plans mapped under the 10th Malaysia Plan (10MP) are a succcess.

Teachers should make make it a point to upgrade their skills especially in today’s digital era where changes are taking place at a rapid rate.

Citing an example of English Language teachers with many years of experience, Noor Rezan said that while these teachers have the knowledge and expertise, they should not dismiss other teaching tools that come with technology such as the Internet and computer software as these tools would only enhance their teaching skills.

New approach

The methods of teaching before were with textbooks and the blackboard, but the methods of educating children these days are through various technological tools which is why teachers have to be adept at using them. she added.

Teachers must make an effort to learn how to use the computer as their students are ‘savvy’ at using the machines, she said.

As educators, teachers must be prepared to adapt as the use of Information and Communication Technology (ICT) helps them improve classroom teaching, added Noor Rezan

“They (teachers) must be open-minded and be aware that children of today are more Internet savvy and are not so receptive to taking down notes from the blackboard.

Teachers who only rely on textbooks will not be able to move up, or keep abreast of new developments, she said.

She also called on the teachers to focus on improving their students’ performance as it will improve their respective school’s standing, which in turn will enable the school to achieve the High Performance School (SBT) status.

Securing such credentials were necessary as they were in line with the country’s effort in achieving developed status by the year 2020.

Noor Rezan said the ministry’s objective was to have another 30 schools with SBT status next year apart from the existing 20 schools with similar status.

The 20 schools include 14 secondary schools and six primary schools. Ten of the secondary schools are boarding schools while the rest are day schools.

Education Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin who is also the Deputy Prime Minister had said earlier that based on the ministry’s Key Performance Index (KPI), there would be 50 such schools by 2012.

On incentives for headmasters and teachers, Noor Rezan said it was to help them achieve better performance for their schools.

“The success of a school does not only depend on its teachers, but from the support of its students’ parents.

“Teachers who are committed in dispensing their tasks will be rewarded with incentives.”

Apart from the Outstanding Teacher Award, there are also awards for innovative teachers together with incentives in the form of promotions and scholarships for exemplary teachers.

On the Literacy and Numeracy (Linus) programme, Noor Rezan said the programme is geared towards ensuring that all Malaysian children without learning disabilities, are able to read and write Bahasa Malaysia and do basic mathematics by Year Four.

Beginning this year, all Year One pupils will be screened three times a year — in March, June and September — to identify those who do not meet the required reading, writing and counting standards.

The ministry has already set aside an allocation of RM400 mil for the programme for 2010 to 2012.

“So far we have trained 15,500 facilitators and rehabilitation teachers for the programme,” she added. — Bernama

Wednesday, August 18, 2010

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Nur Madihah mahu tukar pengajian ke UK, AS

KOTA BHARU 16 Ogos - Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 19, yang kini menuntut dalam bidang fizik di Universiti Sains dan Teknologi Jordan berhasrat untuk bertukar tempat pengajian ke United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, hasrat itu kerana dia melihat peluang lebih luas wujud di negara berkenaan yang lebih kerap membuat penemuan-penemuan baru dalam bidang sains dan teknologi.

"Tidak dinafikan memang saya yang memohon menyambung pelajaran di sana (Jordan) tetapi selepas setahun, apa yang boleh dikatakan saya rasa masa muda perlu dipacu lebih laju apatah lagi dengan dana Bank Negara Malaysia (BNM), saya harus memanfaatkan itu semua

"Dengan menempatkan diri lebih awal bersama saintis-saintis di negara yang berpaksikan sains dan teknologi, ia lebih membantu saya mendepani perkembangan terkini dalam bidang itu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.

Nik Nur Madihah pulang ke rumah lama ibu bapanya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa di sini kerana cuti semester musim panas selama tiga bulan bermula 4 Julai lalu.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) itu, sekiranya diberi peluang dia berhasrat melanjutkan pengajian ke negara Barat sebaik sahaja cuti semester berakhir pada pertengahan September ini.

Hasrat bertukar universiti itu, katanya, sudah disampaikan kepada BNM yang menaja pengajiannya di peringkat Sarjana Muda Fizik Gunaan di Jordan dan menyerahkan kepada budi bicara penaja sama ada bersetuju dengan cadangan tersebut atau sebaliknya.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai cadangan hendak bertukar pusat pengajian ke Barat kerana bimbang disalah erti oleh sesetengah pihak atau menimbulkan kontroversi.

"Pengajian di sana (Jordan) baik-baik sahaja, malah dalam keputusan peperiksaan pada semester lepas, saya mengekalkan prestasi sedia ada dan tidak timbul masalah untuk meneruskan pengajian, namun saya mencari kepuasan untuk bersaing," ujarnya

Faktor ketiadaan rakan-rakan senegara dalam bidang yang sama juga antara penyebab dia mahu 'bertukar angin' ke negara lain.

"Pelajar Malaysia di sana mengambil bidang perubatan atau syariah dan hanya saya seorang yang mengambil fizik, jadi saya tidak mempunyai rakan diskusi atau kumpulan belajar dari negara yang sama," katanya.

Kejayaan Nik Nur Madihah dalam SPM mendapat perhatian banyak pihak apabila dia mencatat sejarah pencapaian tertinggi dengan memperoleh 19A1 dan 1A2 walaupun kehidupannya dilingkari kemiskinan.

Kejayaan itu membuka mata banyak pihak termasuk kerajaan negeri apabila menghadiahkan sebuah rumah teres setingkat di Taman Perumahan Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa dianggarkan bernilai lebih RM100,000.

Bagaimanapun, Nik Nur Madihah dan keluarganya masih tinggal menyewa di rumah lamanya kerana mahu memberi laluan kepada adik bongsunya, Nik Nur Ain Amirah, 12, mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah berhampiran.

Sementara itu, cuti selama tiga bulan dimanfaatkan oleh Nik Nur Madihah dengan menerima jemputan mengadakan ceramah dan lebih 20 sekolah menengah dan rendah serta masjid telah dikunjunginya.