Showing posts with label Petikan Daripada Berita Harian. Show all posts
Showing posts with label Petikan Daripada Berita Harian. Show all posts

Friday, September 7, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Subjek Sejarah dirombak

Oleh Nazura Ngah

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang merangka kurikulum baru subjek Sejarah sekolah menengah untuk melahirkan warganegara bersemangat patriotisme yang tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia berpandukan perakuan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah. Tumpu pada kurikulum.

Beliau berkata, ia juga selaras dengan perhatian khusus kerajaan terhadap kandungan kurikulum subjek Sejarah di sekolah.

Jawatankuasa khas dipengerusikan Tan Sri Omar Mohd Hashim (Pengerusi Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)) mempunyai tugas besar dan berat.

Laporan sudah diserahkan dan Insya-Allah akan dilaksanakan, katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis PSM ke-57, di Wisma Sejarah di sini, semalam.

Jawatankuasa khas yang ditubuh pada Mei 2011 dianggotai 10 pakar sejarah bertujuan membantu mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah.
Ia bagi memastikan subjek itu mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cintakan tanah air, sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Malaysia.

Penubuhannya juga selaras dasar kerajaan menjadikan Sejarah subjek wajib lulus peringkat SPM mulai 2013.

Zaman yang menganggap Sejarah boleh diajar oleh sesiapa saja dan menganggap ia sebagai satu mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

Kita mahu Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dengan perhatian yang serius dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam mengenai ilmu itu, katanya.

Monday, September 3, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : PAV diperluas ke 150 sekolah mulai 2014

Kuala Lumpur : Progam Asas Vokasional (PAV) khusus untuk pelajar Tingkatan Satu yang kurang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 2014, membabitkan 4,500 pelajar.                                                                                                                                                                                                               Ia lanjutan kejayaan projek perintis PAV di 15 sekolah terpilih yang bermula awal tahun ini yang mendapat sambutan menggalakkan ibu bapa, termasuk pelajar berminat menyambung sesi persekolahan dalam bidang vokasional.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata usaha sedang dilakukan untuk memperlengkapkan kemudahan prasarana seperti kelas dan alat pembelajaran supaya perluasan ke 150 sekolah dapat dilaksanakan.

Kurang tenaga pelajar
Katanya, kementerian juga sedang membuat permohonan bagi mendapatkan tenaga pengajar yang masih kurang, khususnya bagi mengajar PAV.

"Tahun ini  Kementerian Pelajaran Malaysia membelanjakan kira-kira RM29 juta untuk menambah alat dan kelengkapan di 150 buah sekolah, manakala tambah ruang dilaksanakan tahun hadapan.

"Dari segi pemilihan pelajar, ketika ini kita utamakan pelajar yang amat memerlukan iaitu kurang baik pencapaian dalam akademik supaya mereka boleh tumpu kepada bidang kemahiran," katanya kepada BH, semalam.

Program PAV yang dirangka khusus untuk pelajar menegah rendah berusia 13 tahun hingga 15 tahun antara lainnya bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Pelajar di Tingkatan Satu akan diajar enam bidang asas vokasional antaranya kejuruteraan, pertanian dan ekonomi rumah tangga, manakala pengkhususan dalam 20 bidang pilihan boleh dibuat apabila berada di Tingkatan Dua.

Melalui PAV juga, pelajar ditawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua apabila menamatkan pembelajaran Tingkatan Tiga sebelum boleh memilih sama ada mahu ke alam kerjaya atau menyambung pengajian di Giat Mara, Institut Latihan Industrian (ILP) atau Kolej Vokasional (KV).

Friday, August 31, 2012

Petikan Daripada Berita Harian ; 13,000 peserta semarak sambutan Hari Kemerdekaan ke-55


KUALA LUMPUR: Perbarisan sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka hari ini meriah dengan penyertaan 13,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya generasi muda, yang melambangkan perpaduan negara yang kukuh dan sejahtera.

Bertemakan '1Malaysia Janji Ditepati', perhimpunan perbarisan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tepat jam 8 pagi dengan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat sebelum lagu 'Negaraku' dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama terdiri empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja dan diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali sebelum diikuti dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu 'Negaraku' dan tembakan meriam 14 das.

Sambutan kemuncak kemerdekaan negara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55 peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang kurang upaya dengan berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik dengan diketuai oleh pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati Gombak Azrai Abdul Aziz.

Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali.

Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun Negara yang disampaikan melalui bicara berirama dengan penuh berwarna warni oleh pelajar.

Diikuti dengan perarakan masuk perbarisan yang dimulakan dengan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia dan dikuti dengan kontinjen membawa Jalur Gemilang dan kontinjen membawa bendera kesemua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Buat julung kali perbarisan kontinjen agensi kerajaan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dengan diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Kontinjen agensi kerajaan turut dianggotai oleh pemimpin tertinggi setiap kementerian itu iaitu ketua setiausaha kementerian masing-masing selaras dengan tema perayaan Hari Kemerdekaan tahun ini "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati". - BERNAMA

Tuesday, August 14, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Keputusan SPM Ulangan Khamis ini

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Ulangan 2011 akan dikeluarkan Khamis ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini, slip keputusan akan diposkan atau calon boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri, tempat calon mendaftar peperiksaan.

Seramai 14,224 calon menduduki peperiksaan itu dan daripada jumlah itu, 7,389 calon mendaftar untuk mata pelajaran Bahasa Melayu manakala 3,909 calon mendaftar bagi mata pelajaran Matematik.

Sebanyak 239 pusat peperiksaan dibuka pada 13 dan 14 Jun di seluruh negara. - BERNAMA

Saturday, July 28, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Tak memilih jurusan ditawarkan

Kuala Terengganu: Semua lepasan matrikulasi dan STPM dengan Gred Nilai Purata Kumulatif (CGPA) 2.8 ke atas yang gagal meneruskan pengajian, akan ditawarkan tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata semua 1,246 pelajar yang mendapat CGPA 2.8 ke atas berpeluang ke IPTA dengan syarat tidak memilih jurusan ditawarkan dengan surat tawaran akan dikeluarkan pertengahan bulan depan bagi sesi pengajian September ini.

Tiada peluang jika tolak tawaran

Jika mereka menolak tawaran itu, maka tiada peluanglah. Mereka boleh mula mendaftar seperti pelajar lain September nanti, katanya selepas merasmikan penarafan Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE), di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Seri Dr Zaharudin Idrus; Ahli Lembaga Pengarah UMT, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Dengan penarafan itu, INOS diberi suntikan dana RM3 juta setahun bagi tempoh tiga tahun bermula 2012 sebagai tanda sokongan kementerian untuk melonjakkan keupayaan dan pencapaian institut berkenaan dalam bidang tujahan dan lestari ekologi marin.

UMT Institusi ketujuh diiktiraf

UMT adalah institusi pengajian tinggi ketujuh menerima pengiktirafan itu selepas Power Energy Dedicated Advanced Centre, Universiti Malaya (UMPEDAC); Medical Molecular Biology Institute, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMBI); Institute of Melocular Medicine Research dan Universiti Sains Malaysia (INFORMM).

Institute of Biological Sciences, Universiti Malaya (ISB); Centre of Drug Research, Universiti Sains Malaysia (CDR) dan Accounting Research Institute Universiti Teknologi Mara (ARI).

Dengan penarafan sebagai HICoE, ia dapat memastikan hasrat kementerian dalam memastikan aktiviti penyelidikan dan inovasi di IPT memperoleh sumber mencukupi bagi menyokong Sistem Inovasi Kebangsaan.

Saturday, July 14, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Harga rokok dijangka naik

Oleh Shahrizan Salian

Kuala Lumpur: Duti eksais tembakau dijangka dinaikkan tiga sen sebelum pembentangan bajet tahun ini.

Jangkaan kenaikan itu mengambil kira data terdahulu dan beberapa hasil kajian Laporan Kawalan Tembakau ASEAN yang diterbitkan bulan lalu. Menurut penganalisis, berdasarkan anggaran kenaikan duti cukai itu harga sekotak mengandungi 20 batang rokok dijangka naik kira-kira 60 sen.

TA Securities, dalam laporan analisisnya menjangka kerajaan akan mengumumkan kenaikan sebelum pembentangan bajet 2013 pada 28 September ini bagi mengelak peniaga menyorok rokok.

“Sejak 10 tahun lalu, sektor tembakau dikenakan duti eksais setiap tahun kecuali pada 2011. Kita percaya ketiadaan kenaikan duti eksais tahun lepas adalah antara cara kerajaan mengurangkan beban harga minimum rokok (MCP) yang diperkenalkan sebelum itu,” kata firma penyelidikan itu.

Kerajaan menetapkan harga minimum rokok RM6.40 bagi 20 batang atau 32 sen setiap rokok apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang diwartakan pada 1 Januari 2010.

Sementara itu, berdasarkan statistik Laporan Kawalan Tembakau ASEAN, setiap 10 peratus kenaikan harga rokok akan mengurangkan bilangan perokok muda sehingga tujuh peratus dan keseluruhan pembelian sebanyak empat peratus.
Namun, kenaikan duti eksais akan meningkatkan pendapatan kerajaan sebanyak tujuh peratus walaupun jumlah perokok dan pembelian berkurangan.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa kenaikan cukai sehingga 65 peratus harga runcit adalah yang paling ideal untuk mengurangkan pembelian dalam setiap segmen pengguna.

“Laporan itu juga mendapati kenaikan cukai sehingga 65 peratus harga runcit adalah yang paling ideal untuk mengurangkan pembelian setiap segmen pengguna,” katanya.

Petikan Daripada Berita Harian : 38,549 dapat tempat di IPTA untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2012/2013

Oleh Zanariah Abd Mutalib

Putrajaya: Seramai 38,549 lepasan Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2012/2013. Jumlah itu mewakili 73.5 peratus daripada 52,430 calon yang layak serta melepasi Syarat Am Universiti dan Syarat Khas Program Pengajian.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata jumlah calon layak susut 1.5 peratus berbanding tahun lalu berikutan jumlah calon mengemukakan permohonan berkurangan kepada 63,467 iaitu susutan 1.9 peratus.

Beliau berkata, antara faktor penyumbang kepada penurunan ini ialah ketidaksediaan pelajar menerima kursus selain pilihan mereka, merit rendah, profil kependudukan dan tidak menduduki Ujian bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

“Bagaimanapun, peratus pelajar cemerlang yang mendapat tempat dan memenuhi pilihan program meningkat pada tahun ini,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Rujhan berkata, jumlah tempat ditawarkan tahun ini berkurangan antara 3,000 hingga 4,000 berbanding tahun lalu kerana lima Universiti Penyelidikan menumpukan kepada pengambilan pelajar lepasan siswazah.

Pada masa sama, hanya 50 peratus pengambilan dilakukan di kalangan pemohon bagi program pendidikan kerana tidak menerima unjuran keperluan guru daripada Kementerian Pelajaran.

Bagaimanapun, katanya, kementerian akan menggunakan strategi mengalihkan pelajar ke universiti komprehensif yang lain mulai tahun ini.

Beliau berkata, 5,154 calon berjaya mengikuti program berdaya saing yang dipohon termasuk perubatan (875 orang), pergigian (170 orang), farmasi (295 orang), undang-undang (354 orang), kejuruteraan kimia (666 orang), kejuruteraan mekanikal (1,071 orang), kejuruteraan elektrik dan elektronik (919 orang) serta perakaunan (804).

Calon boleh semak status permohonan melalui laman sesawang http://upu.mohe.gov.my; http://www.jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my bermula hari ini.

Mereka juga boleh menghubungi talian hotline 03-88706767, Helpline 03-88706777, talian am 03-88706755/6766 atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

Calon yang gagal boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan melalui e-rayuan di laman sesawang http://upu.mohe.gov.my mulai hari ini dan berakhir 22 Julai. Tarikh pendaftaran pelajar baru ke IPTA ialah dari 1 sehingga 2 September ini.

Tuesday, July 10, 2012

Petikan Daripada Berita Harian : Muhyiddin lancar Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran sekali lagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) melalui pembabitan lebih 3.6 juta murid dalam Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan, hari ini.

Senamrobik itu yang dilakukan serentak di 10,000 sekolah di seluruh negara dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Wawasan USJ 15 di sini. Dalam perutusannya semasa melancarkan program itu, Muhyiddin berkata, dasar 1Murid 1Sukan yang mewajibkan setiap murid sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan sejajar dengan hasrat untuk memupuk budaya bersukan di sekolah.

"Saya bersyukur kerana dasar 1Murid 1Sukan turut memperlihat hasrat kerajaan menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana jelas terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

"Justeru, bidang sukan adalah gambaran sebenar kepada konsep 1Malaysia yang secara tidak langsung menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan murid sekolah," katanya.

Tahun lalu, kementerian mencatat nama dalam MBR melalui program Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang dijayakan oleh 4.1 juta pelajar dari 9,980 sekolah seluruh negara.

Sejurus menyampaikan ucapan, Muhyiddin bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan beberapa pegawai kanan kementerian yang lain menyertai kira-kira 2,500 murid yang bersiap-sedia di padang sekolah berkenaan untuk melakukan senamronik selama 45 minit.

Sebaik tamat, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan penyerahan sijil MBR yang beliau tandatangani kepada Abd Ghafar daripada Presiden MBR, Datuk Danny Ooi.

Muhyiddin turut merasmikan perlawanan futsal antara murid dan melawat gerai pameran.

- BERNAMA

Saturday, November 19, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Tiada cadangan selaras yuran PIBG - Puad Zarkashi

PONTIAN: Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sehingga kini masih belum ada sebarang cadangan untuk menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara.

Katanya, bagi menyelaraskan yuran berkenaan, kajian terperinci perlu dilaksanakan untuk memastikan mekanisme yang diwujudkan nanti benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, yuran PIBG yang dikenakan di setiap sekolah kini dibuat berdasarkan keadaan semasa sekolah dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun selain mengambil kira kemampuan setiap ibu bapa di sekolah tersebut.

"Yuran PIBG di setiap sekolah itu dibuat menerusi mesyuarat dan keputusan itu perlu diperakui atau disahkan oleh pengetua sekolah atau guru besar selepas menerima maklum balas daripada ibu bapa.

"Sekiranya tidak setuju, mereka boleh menyuarakannya dalam mesyuarat PIBG," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian di Dewan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Oleh yang demikian beliau menasihati ibu bapa agar menghadiri setiap mesyuarat PIBG yang diadakan.

Mohd Puad turut mengingatkan pihak sekolah supaya tidak mengambil kesempatan memotong wang bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 yang diberikan kepada para pelajar.

Katanya, pihak sekolah atau PIBG tidak dibenarkan berbuat demikian kerana wang itu milik pelajar bagi membuat persediaan sesi persekolahan tahun hadapan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian. - BERNAMA

Tuesday, July 26, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : 13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap

PUTRAJAYA: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserapkan sebagai guru tetap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata surat tawaran telah kepada semua GSTT tersebut mulai bulan lepas setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan baru kepada mereka.

"Sasaran pihak kementerian adalah mahukan semua jawatan GSTT menjadi guru tetap dan tiada lagi isu mengenai tidak sambung kontrak.

"Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini hari ini.

Mohd Puad berkata GSTT yang layak akan diserap mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti sebelum diserap sebagai guru tetap.

Mereka juga harus bersedia ditempatkan di sebarang kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara, katanya. - BERNAMA

Sunday, July 3, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Kapal solar Firaun ditemui

PEKERJA Mesir mengeluarkan satu bongkah batu daripada kawasan yang dipercayai
tempat kapal solar Raja Khufu ditanam.

KAHERAH: Satu pasukan ahli arkeologi Mesir dan Jepun menemui kapal solar Firaun Khufu baru-baru ini yang terletak berhampiran piramid agung Giza.

Projek pemuliharaan yang dilakukan ialah untuk mengangkat 41 blok batu dengan purata berat 16 tan setiap satu dan memindahkan kapal ditanam 4,500 tahun lalu di dalam lubang bawah tanah.

Projek itu menjadi tumpuan penyelidikan Kementerian Dalam Negeri Bagi Antikuiti, delegasi dari Universiti Waseda, Jepun dan Institut Kapal Solar Jepun. Mereka sudah memulakan kerja kajian sejak 2007.

Menteri Negeri Bagi Antikuiti Mesir, Zahi Hawass hadir pada upacara pemindahan itu dan memberitahu wartawan, kerja pemuliharaan ‘kapal solar paling tua di dunia’ akan mengambil masa kira-kira empat tahun sebelum ia boleh dipamerkan kepada pelawat.

Raja Khufu antara Firaun terkenal dalam dinasti keempat dan pemerintah yang membina Piramid Khufu. Orang Mesir purba percaya kapal itu dibina untuk membawa beliau kepada kehidupan abadi.

Pemindahan blok batu yang membawa kepada penemuan kapal Firaun Khufu dibuat di dalam sebuah bangsal besar yang dibina untuk melindungi kapal itu. Blok batu pertama diangkat Rabu lalu sebagai ujian sebelum tempatnya digantikan dengan blok kayu.

Kapal solar kedua Firaun Khufu dikesan pada 1987 di dalam sebuah lubang besar, di sebelah barat kapal solar pertama. Kedua-dua kapal itu terletak di bahagian selatan Piramid Khufu di Giza.

Kapal solar pertama ditemui pada 1954 dan mula dipamerkan pada 1982, berhampiran piramid selepas kerja baik pulih yang mengambil masa 13 tahun.

Selepas kerja baik pulih selesai, kapal kedua akan ditempatkan berhampiran pagar piramid, manakala kapal pertama akan dipindahkan di Muzium Besar Mesir yang sedang dalam pembinaan.

Kedua-dua kapal dibuat daripada kayu cedar Lubnan dan kayu akasia Mesir. Hawass berkata, keadaan kapal terbaru ini lebih baik daripada yang dijangka.

“Pada mulanya saya berasa bimbang melihat kayu kapal itu. Bagaimanapun, saya yakin kita dapat melihat sebuah lagi kapal Firaun dalam tempoh empat tahun, apabila ia dibaik pulih,” katanya. – Agensi

Monday, June 27, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Chong Wei Mantap Menjuarai Terbuka Indonesia 2011


LEE Chong Wei meraikan kejuaraan keenamnya tahun ini dengan catatan manis apabila melakar hatrik kejuaraan perseorangan lelaki badminton Terbuka Indonesia selepas menewaskan pemain Denmark, Peter Gade Christensen di Istora Senayan, semalam.

Pemain nombor satu dunia itu yang setakat ini sudah empat kali menjuarai Terbuka Indonesia selepas mengungguli pada 2007, 2009 dan 2010 nyata sukar ditandingi oleh Christensen apabila mudah menamatkan saingan dengan 21-11, 21-7 dalam masa hanya 31 minit.

Malah, dalam pertarungan itu, Chong Wei, 29, hanya membenarkan lawan sekali saja mendahului pada set pertama pada kedudukan 3-2, sebelum langsung tidak membenarkan Christensen memintasnya hingga ke mata penamat, sekali gus mengekalkan rekod cemerlang mengungguli 13 daripada 14 pertemuannya dengan bekas pemain nombor satu dunia berusia 35 tahun itu.

“Saya bermain dengan penuh keyakinan dan tidak terjejas langsung dengan gelagat penonton,” kata Chong Wei kepada wartawan mengenai suasana bising penonton yang bersorak setiap kali dia melakukan smash.

“Tentu sekali Peter adalah seorang pemain yang bagus... tetapi kami sudah bermain menentang antara satu sama lain sebanyak 14 kali, maka saya tahu bagaimana cara dia mencorakkan permainannya.”

Chong Wei yang mara ke tujuh final tahun ini telah memenangi lima kejuaraan sebelum ini - Terbuka Malaysia, Grand Prix Emas, Seluruh England, Terbuka India dan Masters Final - dan satu-satunya kekalahan yang dialaminya ialah kepada jaguh China Lin Dan di Terbuka Korea Januari lalu.

Laluannya ke final Terbuka Indonesia kali ini agak mudah apabila memulakan saingan menentang pemain muda tuan rumah Tommy Sugiarto di pusingan pertama, menewaskan pemain ranking ke-27 dari Hong Kong, Wong Wing Ki di pusingan kedua, menyingkirkan pilihan ketujuh dari Vietnam, Nguyen Tien Minh di suku akhir sebelum mengetepikan pilihan keempat dari China, Chen Long di separuh akhir.

Usaha Chong Wei memburu kejuaraan hatriknya menjadi lebih mudah apabila seteru utamanya, Lin Dan yang dijangka menjadi lawannya pada final tersingkir awal secara mengejut di pusingan kedua kepada pemain Jepun, Sho Sasaki.

Kemenangan semalam membolehkan Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$45,000 (RM136,822) kejohanan yang menawarkan hadiah kedua termahal selepas Terbuka Korea, manakala Christensen membawa pulang AS$22,500 (RM136,822).

Sementara itu, dalam perseorangan wanita, pemain India, Saina Nehwal gagal mempertahankan kejuaraan yang dikuasainya sejak dua tahun lalu selepas tewas kepada pemain nombor tiga dari China, Wang Yihan 12-21, 23-21, 21-14.

Sunday, June 26, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Subjek Vokasional di sekolah dimansuhkan mulai tahun depan

KULIM: Mata pelajaran vokasional (MPV) akan dimansuhkan di semua sekolah harian secara berperingkat mulai tahun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.

"Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV).

"PAV ini dikhususkan untuk pelajar peringkat Tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Panglima Besar di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak.

Beliau berkata, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di sekolah menengah teknik atau vokasional sebelum ini.

"Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya Kementerian Pelajaran sudah memperuntukkan sejumlah RM242.6 juta untuk Program Biasiswa Kerajaan Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra-Universiti untuk tahun ini. - BERNAMA

Sunday, June 19, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Puluhan bot dilambung puting beliung di Teluk Buih, Mersing



Oleh Ikhwan Muhammad
bhjb@bharian.com.my

Pusaran angin puting beliung yang melanda Teluk Buih, Air Papan, Mersing, semalam sempat dirakam oleh pembaca setia Berita Minggu

SEBUAH bot nelayan tersadai di jeti kerana diterbangkan puting beliung di
pangkalan Teluk Buih, Mersing, semalam.

MERSING: “Saya hanya mampu berdoa agar puting beliung itu tidak menghala ke arah kami yang sedang berniaga kerana ngeri mengenangkan ribut memusnahkan Bazar Ramadan Melaka tahun lalu yang mengorbankan beberapa mangsa.

"Doa kami dimakbulkan apabila puting beliung itu menghala ke arah Teluk Buih, tetapi tempiasnya saja sudah cukup untuk merosakkan beberapa gerai di sini,” kata Rosli Derani, 42, peniaga pasar lambak Jalan Makam, di sini.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin itu, dia yang berniaga sup tulang dapat melihat dengan jelas pusaran angin bergerak menghala ke Teluk Buih sambil tempiasnya terasa sehingga ke kawasan perniagaan itu.

Walaupun puting beliung yang dilihat bermula dari Pulau Setindan berhampiran Pantai Teluk Buih itu tidak menghala ke pasar lambak, tempiasnya sudah cukup menyebabkan hampir 10 khemah peniaga rosak bersama puluhan bot gentian kaca milik nelayan yang diterbangkan angin.

Kejadian berterusan kira-kira 10 minit itu adalah yang kedua dalam tempoh seminggu di daerah ini dan menggemparkan penduduk sekitar Kampung Air Papan dan Teluk Buih. Walaupun tiada kemalangan jiwa, sekurang-kurangnya empat bot nelayan musnah dan bumbung jeti pangkalan Teluk Buih diterbangkan angin kencang.

Pengunjung dari Kluang, Muslim Abdullah, 46, berkata ketika kejadian beliau yang berada di atas jeti sempat menyelamatkan diri dengan berlindung di kawasan selamat manakala orang ramai di sekitar pantai bertempiaran lari mencari perlindungan dalam keadaan bot gentian kaca berterbangan dibawa angin kencang.

“Bot yang berat itu mampu diterbangkan angin bagaikan kertas yang melayang sebelum jatuh menghempap jeti. Syukur saya dan anak terselamat... kalau terperangkap dalam pusaran angin itu, sukar untuk digambarkan nasib kami," katanya.

Wednesday, June 15, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Pelarasan harga belum muktamad, KPKK masih bincang dengan Astro

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sedang berbincang dengan pihak stesen televisyen berbayar Astro berhubung hasrat syarikat itu melakukan beberapa pelarasan harga kepada pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang, berkata penyelarasan harga yang diumumkan oleh pihak syarikat televisyen berbayar itu baru-baru ini, masih belum muktamad.

"Kementerian memang sentiasa memantau dan berunding dengan Astro. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penyelarasan harga yang telah diberitakan belum muktamad.

"Pada masa kini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berunding, meneliti dan menganalisa apakah hajat Astro untuk naikkan harga ini wajar atau tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohamad meminta supaya kementerian memantau langkah Astro untuk mengenakan bayaran yang agak tinggi terhadap pakej-pakej yang ditawarkan demi kepentingan rakyat.

Sementara itu, Joseph berkata bagi mana-mana perkhidmatan televisyen berbayar termasuk Astro, penetapan kos langganan adalah berdasarkan kos yang ditanggung dalam menyediakan perkhidmatan termasuklah kos pemerolehan dan pembelian kandungan dan hak penyiaran dari pihak ketiga.

Katanya, ini adalah selaras dengan prinsip mengenai penetapan kadar yang diperuntukkan di bawah Seksyen 198, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Oleh itu, setiap kenaikan harga dianalisa oleh pihak SKMM bagi memastikan ianya adalah tindakan yang wajar dan munasabah berasaskan kos dan tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan pemantauan SKMM didapati Astro tidak menayangkan terlalu banyak iklan komersil, malah secara purata masa iklan yang digunakan oleh Astro hanyalah 19 hingga 20 peratus atau 46-50 minit daripada 240 minit masa yang dibenarkan untuk mereka menyiarkan iklan komersil dalam sehari.

Katanya, kerajaan tidak menghalang penyiaran iklan di Astro mengikut syarat lesen yang membenarkannya menyiarkan iklan komersil tidak lebih daripada 10 minit bagi setiap jam di setiap saluran.

"Kebanyakan iklan di saluran Astro adalah berbentuk promosi saluran-saluran atau rancangan-rancangan Astro lain.

"Ini tidak dianggap sebagai iklan komersial kerana masa penyiaran tersebut tidak memberi pulangan kepada Astro," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerjaan turut menetapkan syarat lesen Astro untuk menyiarkan Pengumuman Khidmat Awam (Public Service Announcement-PSA) selama satu minit setiap jam siaran di 10 saluran. - BERNAMA

Sunday, October 24, 2010

Petikan Daripada Berita Harian : Pendidikan vokasional, kemahiran fokus utama

KERAJAAN disaran merombak, menjenamakan dan menstruktur semula sekolah vokasional dan teknik mengikut arus perdana supaya kemasukan pelajar ke sekolah ini menjadi pilihan utama ibu bapa dan pelajar.

Sehubungan itu, pembentangan usul agama dan pendidikan mencadangkan supaya pendidikan vokasional dan kemahiran atau VOCTECH dijadikan fokus utama dalam usaha mengarusperdana sistem pendidikan negara supaya menepati keperluan pasaran tenaga kerja, industri dan anjakan ekonomi yang semakin terbuka.

Wakil Perak, Datuk Rosli Husin yang mencadangkan usul berkenaan, berkata sekolah aliran VOCTECH yang berorientasikan sekolah keusahawanan seharusnya dikeluarkan daripada skop kurikulum persekolahan kepada taraf pengajian tinggi.

“Tidak keterlaluan jika kita lihat pelajar lepasan institusi VOCTECH Kementerian Pelajaran sudah memiliki diploma yang setaraf dengan politeknik, kolej universiti dan universiti. Lebih serius jika bahagian pendidikan teknik kementerian dinaik taraf menjadi Jabatan Pendidikan Teknik atau VOCTECH supaya lebih fokus dan dapat mengurangkan birokrasi urus tadbir,’ katanya.

Rosli yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, turut mengetengahkan enam kerjaya profesional iaitu akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, jurutera dan juru ukur yang tidak menunjukkan jumlah Melayu dan Bumiputera melebihi atau mengatasi jumlah bukan Melayu, sedangkan majoriti di negara ini ialah Bumiputera.

Ketika menyokong usul berkenaan, wakil Puteri UMNO, Idamoerni Zakaria menyifatkan usaha menjadikan VOCTECH sebagai pendidikan arus perdana adalah sesuatu yang radikal, tetapi sangat tepat dengan keperluan industri masa kini.

Wakil Pemuda, Mohd Gasing Saling meminta Kementerian Pelajaran memberi penekanan terhadap penerapan pendidikan vokasional dan kemahiran sejak pada peringkat sekolah rendah lagi dalam transformasi sistem pendidikan yang akan dilaksanakan mulai 2016.

Wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Syed Mehdhar Syed Abdullah, pula memuji langkah kerajaan untuk memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR).