Thursday, May 3, 2018

Limpahan Rezeki

70,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Kuala Lumpur : Pelaksanaan projek berimpak tinggi, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG), dijangka mewujudkan sehingga 70,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Daripada jumlah itu, 22,000 adalah pekerjaan berpendapatan tinggi dengan 4,000 pekerjaan berkaitan langsung dengan HSR manakala 18,000 pekerjaan profesional dan berkemahiran tinggi.

Pengarah MRCB Gamuda Consortium Datuk Azmi Mat Nor berkata, projek mega itu sememangnya akan memberi manfaat kepada ramai pihak daripada kontraktor besar hingga yang kecil termasuk graduan universiti.

Menurutnya, golongan belia yang datang dari latar belakang pendidikan teknikal seperti dari kolej vokasional atau institut kemahiran juga turut mendapat manfaat tidak langsung.

“Mereka ini saya percaya perlu diberi peluang dalam projek ini dan kami akan melatih dan meningkatkan kemahiran mereka. Selepas itu mereka akan diserap menjadi sebahagian daripada tenaga kerja HSR

“Diharapkan dengan usaha ini, kami mampu mewujudkan rantaian bekalan dalam HSR dan pada masa sama mereka mampu meningkatkan pendapatan mereka menjadi lebih tinggi berbanding sekarang.

“lni adalah antara sebahagian daripada perancangan Rakan Pelaksana Projek (PDP) bersama dengan MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) untuk mencapai hasrat mewujudkan ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam kalangan belia seperti yang dimahuikan kerajaan." katanya ketika diwawancara di sini, semalam.

Wawancara itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp Datuk Mohd Nur lsmal Mohamed Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL THP JV Sdn Bhd Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.

Sementara itu. Mohd Nur lsmal berkata, lebih 40 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak kerja sivil projek berkenaan akan diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera.

Kontrak berkenaan, kata firma pelaksana projek itu, akan ditawarkan menerusi tender terbuka kepada kontraktor Bumiputera yang berkelayakan.

“Dari segi jumlah, secara keseluruhannya kira-kira 60 pakej kerja akan ditawarkan kepada kontraktor tempatan, termasuk Bumiputera,” katanya.

Sumber : Harian Metro
Tarikh : 03 Mei 2018
Penulis : Zarina Zakaria & Hazwan Faisal Mohamad

Wednesday, May 2, 2018

TVET Penuhi Keperluan Sektor Industri

TVET Penuhi Keperluan Sektor Industri

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dari 2016 hingga 2020, 60 peratus daripada 1.5 juta peluang pekerjaan dalam tempoh ini memerlukan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Bagi memenuhi keperluan itu, sistem pendidikan vokasional menjalani transformasi yang memberi tumpuan kepada menghasilkan pelajar profesional, kompeten dan mendapat permintaan tinggi dalam sektor industri.

TVET meliputi tiga aliran antaranya pendidikan teknikal, pendidikan vokasional dan latihan kemahiran. Menaik taraf sekolah vokasional kepada kolej vokasional, kerjasama antara industri dan menambah bilangan pelajar daripada 164,000 orang pada 2013 kepada 225,000 orang pada 2020.

Wujud peluang pekerjaan
Untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran pada masa akan datang, kerajaan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan tambahan menerusi TVET sekali gus melengkapkan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Inisiatif itu membolehkan golongan muda menyertai ‘TVET Bootcamp’ selama tiga hingga enam bulan yang dirangka bersama majikan.

Melalui pendekatan ini, kerajaan berikrar menyediakan generasi muda berusia 30 tahun ke bawah dengan pekerjaan atau latihan untuk mendapat kerja dalam tempoh enam bulan.

Bagi mengatasi kebolehpasaran graduan menganggur pula, program Apprenticeship Malaysia diperkenalkan membabitkan lima industri rintis, selain meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan amali berstruktur dan kemahiran insaniah kepada pelajar universiti awam
(UA).

Bukan sahaja penuntut UA, pelajar lepasan Maahad Tahfiz akan diperkasakan melalui program keperantisan dan pemadanan latihan amali berstruktur di syarikat berasaskan industri halal.

Sumber : Berita Harian
Tarikh : 02 Mei 2018
Penulis : Haryani Ngah