Sunday, July 8, 2012

Kisah Teladan : Raja Terbaik - Memilih Imam

Sultan Muhammad al-Fatih bukan sahaja menjaga amalan-amalan yang wajib, malah kosisten dalam menjaga amalan-amalan sunat. sejarah telah melakarkan betapa kata-kata ini telah dikotakan dalam kehidupan beliau.

Pada hari Jumaat pertama selepas kota Constantinople ditawan, baginda dan tenteranya masuk ke Hagia Sophia untuk mendirikan solat Jumaat. Di sini, telah berlakunya peristiwa pemilihan imam Jumaat yang pertama. Apa yang menarik, rahsia kejayaan sultan terbaik ini terdedah.

Pada mulanya, sultan Muhammad al-Fatih mencadangkan gurunya, Sheikh Shamsuddin sebagai imam. Namun, gurunya menolak dengan rendah hati. untuk mencari yang layak, baginda telah memerintahkan seluruh pegawai dan tenteranya berdiri.

"Siapa antara kamu yang tidak pernah meninggalkan solat fardu sejak baligh walaupun sekali, sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk.

"Siapa antara kita yang tidak pernah meninggalkan solat Rawatib sejak baligh walaupun sekali, sila duduk!". Ada sebahagian tentera duduk.

"Siapa antara kita yang tidak pernah meninggalkan solat sunat Tahajud sejak baligh walaupun satu malam, sila duduk!". Kini, semua tentera duduk kecuali Sultan Muhammad al-Fatih.

Inilah peristiwa yang berlaku ketika pemilihan imam bagi solat Jumaat kali pertama di Masjid Hagia Sophia yang asalnya ialah sebuah Gereja Besar St. Sophies. Pada mulanya, baginda mencadangkan gurunya, akhirnya terserlah bahawa baginda sendiri orang yang paling layak menjadi imam.

(Dipetik daripada Majalah Solusi Isu No. 45 m/surat 17)

Thursday, July 5, 2012

Nama Penerima Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012

Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 
Pertengahan Tahun 2012
SM Vokasional Dungun


Senarai Nama Terbaik Mengikut Kelas Tingkatan 4
  1. Mohamad Najib B Mohd Ali - 4KE1
  2. Farah Liyana Bt Mohd Rodin - 4KE1
  3. Nor Aishah Bt Abd Rashid - 4KA1
  4. Noor Zulaikha Bt Alias - 4KM1
  5. Anis Ain Mardiah Bt Alias - 4KM1
  6. Mohd Syafiq B Wahab - 4KM2


Senarai Nama 5 Pelajar Terbaik Keseluruhan Tingkatan 4
  1. Mohamad Najib B Mohd Ali - 4KE1
  2. Mohd Nazri B Adzemin - 4KE1
  3. Nur Syuhada Bt Kamaruddin - 4KE1
  4. Wan Hafizi B Wan Mohamad - 4KE1
  5. Che Wan Muhammad Zulfikar B C. W. M. Anan - 4KE1


Senarai Nama Terbaik Mengikut Kelas Tingkatan 5
  1. Siti Nur Najihah Bt Mohd Azemi - 5 Elit
  2. Fatin Sahira Bt Razli - 5KE1
  3. Nur Mailizawani Bt Mat Zaki - 5KE2
  4. Amirul Haqimie B Ramzi - 5KE3
  5. Mohd Firdaus B Ismail - 5KA1
  6. Muhammad Amiruddin B Ghani - 5KA2
  7. Nur Fatihah Bt Mahussin - 5KA3
  8. Khaliesah Izzati Bt Muhammad - 5KA4
  9. Muhamad Raimie B Ruzlan - 5KM1
  10. Amin Rahimie  B Abd Aziz - 5KM2
  11. Muhammad Izzeham B Ismail - 5KM3


Senarai Nama 5 Pelajar Terbaik Keseluruhan Tingkatan 5

  1. Siti Nur Najihah Bt Mohd Azemi - 5 Elit
  2. Fatin Nurshuhada Bt Zamri -  5 Elit
  3. Muhammad Tajuddin B Mahmood -  5 Elit
  4. Muhammad Sharizam B Rozira -  5 Elit
  5. Khairuddin B Lukmanul Hakim -  5 Elit

TAHNIAH KEPADA SEMUA PENERIMA ANUGERAH 


Sunday, July 1, 2012

Majlis Temu Murni, Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Pertengahan Tahun & Majlis Penutupan Minggu Kokurikulum

Majlis Temu Murni, Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 
Pertengahan Tahun & Majlis Penutupan 
Minggu Kokurikulum

Tarikh : 05 Julai 2012
Masa : 09.30 pagi
Tempat : Dewan Voctech

Dirasmikan Oleh:
Yg. Berbahagia En. Zakariah B Ali
Ketua Sektor,
Sektor Pengurusan Sekolah,
Jabatan pelajaran Negeri Terengganu.


Tuesday, June 26, 2012

Petikan Daripada Utusan Malaysia : Daripada sampah kepada diesel

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Plastik merupakan salah satu bahan yang paling banyak digunakan hari ini bermula daripada kegunaan membungkus makanan sehinggalah sektor pembuatan pakaian.

Bahan ini telah digunakan secara meluas dan kesan penggunaan plastik yang keterlaluan telah menyebabkan alam sekitar terjejas berikutan plastik yang dibuang tidak dapat diurai dalam masa terdekat.

Kini kempen mengurangkan kegunaan beg plastik sedang giat disebarkan kepada masyarakat namun bagi Shamsul Bahar Mohd. Nor ia bukanlah suatu penyelesaian yang ideal.

Beliau berpendapat, selagi plastik terus dihasilkan ia akan digunakan oleh manusia kerana plastik merupakan salah satu bahan alternatif termurah dan mudah diperoleh.

Justeru, beliau mencuba alternatif lain yang mana plastik dapat terus dihasilkan dan digunakan pada masa yang sama ia tidak akan mencemarkan alam sekitar.

Jelas Shamsul Bahar, beliau merupakan salah seorang pemain utama dalam pengeluaran beg plastik melalui syarikatnya iaitu Saham Utama Sdn. Bhd di negara ini.

"Oleh yang demikian saya sendiri tampil dengan idea untuk mengitar semula bahan ini kepada sesuatu yang boleh digunakan, malah ia pasti diperlukan iaitu minyak diesel.

"Ini kerana plastik adalah berasal daripada bahan berasaskan petroleum dan ia boleh diurai menerusi proses tertentu agar kembali kepada bentuk asal iaitu minyak," ujarnya.

Bercerita kembali bagaimana idea tersebut timbul, Shamsul Bahar berkata, ia bertitik tolak daripada kilang plastik yang beliau usahakan kini.

"Semasa proses pembuatan plastik di kilang pastinya ada satu dua produk yang mengalami masalah dan ia akan diasingkan kerana tidak dapat digunakan apatah lagi dijual.

"Semakin lama semakin banyak, sehingga memenuhi ruang penyimpanan kilang dan saya perlu mengeluarkan kos untuk melupuskan barangan buangan ini," katanya.

Beliau mula mencari penyelesaian dan akhirnya menemui teknologi penguraian plastik kembali menjadi minyak diesel.

Memiliki latar belakang kejuruteraan minyak dan gas memberikan kelebihan kepada Shamsul yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Syngas Sdn. Bhd. untuk memajukan teknologi tersebut di negara ini.

Katanya, plastik yang dihasilkan kini berasal daripada petroleum justeru proses yang sama digunakan untuk menukarkan plastik kembali kepada minyak.

"Semua bahan yang digunakan untuk membuat plastik adalah terdiri daripada minyak seperti polypropylene (PP), polyethylene (PE) dan polystyrene (PS)," katanya.

Bagi memudahkan proses tersebut plastik yang telah dikumpul akan dihancurkan kemudian di proses menjadi bentuk pelet terlebih dahulu.

Seterusnya, plastik di dalam bentuk pelet tersebut akan dipanaskan di dalam injected machine sehingga cair.

Kemudian, plastik dalam bentuk cecair tersebut akan dialir kepada sebuah reaktor diberikan tekanan sehingga molekul plastik didalam bentuk cecair terurai dan bertukar menjadi gas.

Gas (gas hidrokarbon) yang terbentuk akan dialirkan ke kebuk khas dan ia akan disejukkan dan disuling pada suhu tertentu untuk membentuk minyak diesel semula.

Proses tersebut mampu menghasilkan satu liter (l) minyak diesel bagi satu kilogram (kg) bahan plastik dan kini kilang percubaan (pilot plant) telah pun dibina dan berjaya mengeluarkan hampir 5,000 l sehari.

Di Malaysia, minyak yang dihasilkan mungkin tidak semurah seperti minyak diesel yang sedia ada, namun penghasilan minyak daripada bahan plastik ini memiliki kelebihannya yang tersendiri.

Dikenali sebagai Syngas, minyak yang dihasilkan melalui proses tersebut memiliki kandungan sulfur yang lebih rendah berbanding minyak lain yang setara dengannya.

Minyak ini juga melepasi ujian standard Euro IV bagi Index Cetane sekali gus menjadikannya lebih mesra alam dan boleh digunakan dalam kenderaan.

Projek kajian dan pembangunan (R&D) yang dilakukan bermula dari tahun 2007 oleh Syngas turut mendapat sokongan Technofund melalui penganugerahan dana sebanyak RM1.5 juta kemudian sebanyak RM750,000 dan dibantu oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Namun, konsep asal teknologi ini bukan untuk menghasilkan diesel untuk kegunaan secara besar-besaran tetapi untuk kegunaan pada skala yang kecil.

Malah matlamat asalnya adalah untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar akibat penggunaan bahan plastik kepada sesuatu yang boleh digunakan.

Antara sasaran Syngas Sdn. Bhd. adalah syarikat persendirian mahupun kerajaan seperti syarikat pelupusan sampah, kerajaan tempatan yang mengusahakan tapak pelupusan sampah dan syarikat-syarikat yang memiliki bahan plastik buangan.

Sunday, February 5, 2012

Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W Tahun 1433 H

Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan. Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.

..................................................

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.

Wajahnya yang tenang berubah warna.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

- Artikel iluvislam.com

Sunday, January 22, 2012

Selamat Tahun Baru Cina 2012


SM Teknik Dungun (SMaTeD) akan bercuti selama seminggu bermula 20/01/2012 sehingga 28/01/2012 sempena Tahun Baru Cina 2012, semoga semua pelajar menggunakan masa cuti sebaik mungkin.

Kepada semua kaum Cina, diucapkan "Selamat Tahun Baru Cina".


Diharapkan keutuhan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia akan semakin kukuh dan Malaysia akan terus maju dan aman damai.....

Thursday, January 19, 2012

Jadual Peperiksaan TOV Tingkatan 5 2012 Negeri Terengganu


Di bawah ini merupakan Jadual TOV Tingkatan 5 2012 Negeri Terengganu, semoga semua pelajar-pelajar terutama pelajar seluruh Negeri Terengganu amnya dan pelajar SM Teknik Dungun (SMaTeD) khususnya hendaklah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi peperiksaan tersebut.


Walaupun ia adalah peperiksaan "Test Of Value" aka (TOV), ia amat penting untuk menilai pemahaman pelajar terhadap apa yang telah dipelajari semasa di Tingkatan 4 dahulu. Berdasarkan keputusan TOV inilah para guru dapat membantu pelajar untuk menangani kelemahan-kelemahan atau memperbaiki kesilapan teknikal jika ada.

Semoga para pelajar menjawab dengan jujur tanpa meniru supaya keputusan yang diperolehi adalah tepat dan jitu. Akhir sekali, selamat maju jaya kepada calon-calon SPM 2012, semoga mendapat kejayaan yang gemilang..... "Percayalah kepada kemampuan dan kekuatan diri anda sendiri........"

Saturday, December 3, 2011

Petikan Daripada Harian Metro : Kajang Banjir!!!


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Naimah Mohamed
am@hmetro.com.my

KAJANG: Bandar Kajang lumpuh apabila ditenggelami air melebihi satu meter menyebabkan puluhan kenderaan tenggelam dan premis perniagaan dimasuki air selepas hujan lebat selama dua jam bermula jam 2.30 petang semalam.

Selain beberapa jalan utama di pusat bandar, beberapa kawasan penempatan turut ditenggelami air yang dikatakan melanda secara mendadak bermula jam 3.30 petang menyebabkan sembilan penduduk Kampung Jalan Kelapa terpaksa dipindahkan. Antara kawasan lain yang turut terbabit Jalan Bukit, Jalan Reko, Jalan Semenyih, Jalan Kampung Sungai Kantan dan Jalan Sungai Jelok.

Berpuluh kenderaan yang diletakkan di ruang meletak kereta di tepi jalan dan di dalam kompleks beli-belah, Metro Kajang dilaporkan tenggelam, malah air turut masuk ke aras bawah kompleks itu menyebabkan peniaga serta orang ramai kelam kabut. Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira - kira jam 3.51 petang dan 20 anggota dari Balai Bomba Kajang dan Cheras digerakkan ke lokasi kejadian.

“Lima orang termasuk tiga warga emas yang terperangkap di dalam rumah di Kampung Sungai Kantan berjaya dikeluarkan manakala empat orang lagi termasuk dua wanita diselamatkan di kawasan Kampung Jalan Kelapa.

“Usaha menyelamatkan mangsa dilancarkan di tiga kawasan utama yang dinaiki air sehingga ke paras dada iaitu Kampung Sungai Kantan, Kampung Jalan Kelapa dan Pasar Kajang,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, berdasarkan maklumat penduduk Kampung Jalan Kelapa, kejadian banjir semalam terburuk sejak 40 tahun lalu di mana 12 buah rumah di situ tenggelam sepenuhnya.