Sunday, July 31, 2011

Tutorial Daerah Dungun 2011

Tutorial Daerah Dungun telah diadakan selama 3 hari bermula 26/07/2011 sehingga 28/07/2011 dan ia dijalankan mengikut Pusat Kegiatan Guru (PKG) masing-masing. Pelajar SMaTeD yang terlibat sebanyak 50 orang dan ditempatkan di SMK Seri Dungun dan dikelolakan oleh Pejabat Pelajaran Dungun. Di sini dikongsi bersama bahan-bahan yang digunakan dalam tutorial ini.

  • FIZIK
  • KIMIA (dikemaskini pada 31/07/2011)
  • BIOLOGI
  • MATEMATIK
  • MATEMATIK TAMBAHAN
  • BAHASA MELAYU
  • BAHASA INGGERIS

Deklamasi Sajak Hari Guru 2011 disampaikan oleh Ustaz Abdullah

Dah lama video ini terperap dalam video cam, baru sekarang mempunyai masa untuk upload ke Youtube. Kepada bekas-bekas pelajar SMaTeD yang merindui suara Ustaz Abdullah a.k.a Ketua Warden SMaTeD, dengar dengan teliti dan hayati... dan kenangkanlah semasa kamu semua berada di SMaTed dahulu..... kenangan manis, kenangan pahit, semua adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan.....



Tuesday, July 26, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : 13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap

PUTRAJAYA: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserapkan sebagai guru tetap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata surat tawaran telah kepada semua GSTT tersebut mulai bulan lepas setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan baru kepada mereka.

"Sasaran pihak kementerian adalah mahukan semua jawatan GSTT menjadi guru tetap dan tiada lagi isu mengenai tidak sambung kontrak.

"Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini hari ini.

Mohd Puad berkata GSTT yang layak akan diserap mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti sebelum diserap sebagai guru tetap.

Mereka juga harus bersedia ditempatkan di sebarang kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara, katanya. - BERNAMA

Petikan Daripada Harian Metro : Timbang langkah lain kekang inflasi

MALAYSIA perlu menimbangkan langkah lain selain dasar monetari bagi mengekang inflasi berikutan kadar inflasi semasa sebanyak 3.5 peratus adalah agak tinggi ekoran kenaikan harga tenaga dan komoditi.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, adalah penting untuk menangani paras inflasi yang semakin meningkat kerana ia akan merosakkan prospek pertumbuhan masa depan.

“Kadar inflasi menyebabkan harga makanan dan bahan api yang tinggi. Memang betul, ia (inflasi) sangat dirasai kerana kedua-dua perkara itu adalah komponen penting di dalam bakul penggunaan kita.

“Pengedaran bahan makanan juga perlu ditambah baik sambil wujudkan keperluan untuk mengakses sumber pengeluaran makanan seperti baja dan makanan haiwan pada kos yang rendah. Sebab itu banyak perhatian telah difokuskan bagi menangani inflasi kerana ia menghakis kuasa membeli,” katanya kepada media selepas prapelancaran siri ketiga wang syiling Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Sunday, July 3, 2011

Petikan Daripada Berita Harian : Kapal solar Firaun ditemui

PEKERJA Mesir mengeluarkan satu bongkah batu daripada kawasan yang dipercayai
tempat kapal solar Raja Khufu ditanam.

KAHERAH: Satu pasukan ahli arkeologi Mesir dan Jepun menemui kapal solar Firaun Khufu baru-baru ini yang terletak berhampiran piramid agung Giza.

Projek pemuliharaan yang dilakukan ialah untuk mengangkat 41 blok batu dengan purata berat 16 tan setiap satu dan memindahkan kapal ditanam 4,500 tahun lalu di dalam lubang bawah tanah.

Projek itu menjadi tumpuan penyelidikan Kementerian Dalam Negeri Bagi Antikuiti, delegasi dari Universiti Waseda, Jepun dan Institut Kapal Solar Jepun. Mereka sudah memulakan kerja kajian sejak 2007.

Menteri Negeri Bagi Antikuiti Mesir, Zahi Hawass hadir pada upacara pemindahan itu dan memberitahu wartawan, kerja pemuliharaan ‘kapal solar paling tua di dunia’ akan mengambil masa kira-kira empat tahun sebelum ia boleh dipamerkan kepada pelawat.

Raja Khufu antara Firaun terkenal dalam dinasti keempat dan pemerintah yang membina Piramid Khufu. Orang Mesir purba percaya kapal itu dibina untuk membawa beliau kepada kehidupan abadi.

Pemindahan blok batu yang membawa kepada penemuan kapal Firaun Khufu dibuat di dalam sebuah bangsal besar yang dibina untuk melindungi kapal itu. Blok batu pertama diangkat Rabu lalu sebagai ujian sebelum tempatnya digantikan dengan blok kayu.

Kapal solar kedua Firaun Khufu dikesan pada 1987 di dalam sebuah lubang besar, di sebelah barat kapal solar pertama. Kedua-dua kapal itu terletak di bahagian selatan Piramid Khufu di Giza.

Kapal solar pertama ditemui pada 1954 dan mula dipamerkan pada 1982, berhampiran piramid selepas kerja baik pulih yang mengambil masa 13 tahun.

Selepas kerja baik pulih selesai, kapal kedua akan ditempatkan berhampiran pagar piramid, manakala kapal pertama akan dipindahkan di Muzium Besar Mesir yang sedang dalam pembinaan.

Kedua-dua kapal dibuat daripada kayu cedar Lubnan dan kayu akasia Mesir. Hawass berkata, keadaan kapal terbaru ini lebih baik daripada yang dijangka.

“Pada mulanya saya berasa bimbang melihat kayu kapal itu. Bagaimanapun, saya yakin kita dapat melihat sebuah lagi kapal Firaun dalam tempoh empat tahun, apabila ia dibaik pulih,” katanya. – Agensi